Ramadhan Bersama Huffaz 1434H : Bersatu dan Berkorban Membela Umat Islam

BANGI, 6 Julai – Program Ramadhan Bersama Huffaz 1434H anjuran HALUAN Malaysia telah dilancarkan secara rasmi di Dewan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, bersamaan 28 Syaaban 1434H.

Majlis yang disempurnakan oleh Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, itu turut disertai oleh para huffaz terpilih dari Palestin, Syria, Somalia dan Kemboja. Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhamad Haleem Syed Hassan, serta wakil-wakil cawangan HALUAN Malaysia juga hadir bagi memeriahkan majlis ini seterusnya membawa pulang imam-iman huffaz ke negeri masing-masing.

Dalam ucapan aluan beliau, Dr Abdullah Sudin menegaskan kepentingan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang masalah yang sedang melanda umat Islam, seterusnya menyampaikan fakta atau gambaran terkini apa yang berlaku di negara negara-negara terbabit. Program Ramadhan Bersama Huffaz yang telah dilaksanakan oleh HALUAN Malaysia sejak tahun 2011 ini dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat kita untuk cakna dan membantu saudara-saurada mereka yang ditimpa musibah, terutama sekali di Syria, Palestin, Somalia dan rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, Syeikh ‘Izzat Ahmad Saed Suwairki yang mewakili para huffaz menyeru umat Islam supaya bersatu tenaga dan berani berkorban dengan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk membela dan memperjuangkan hak-hak umat Islam. “Kami adalah salah satu anak-anak panah dalam busur kamu. Maka tembaklah kami ke arah mana yang kamu kehendaki selagi mana ianya untuk al Quds, untuk Palestin,” tegas beliau.

Bertemakan “Setitis Amal, Semerbak Ummah”, Program Ramadhan Bersama Huffaz kali ini menumpukan usaha untuk membuka mata masyarakat Malaysia supaya memahami permasalahan umat Islam dengan sebenar-benarnya, dan seterusnya membantu mereka yang memerlukan melalui pungutan dana dan derma ikhlas.

Setiap huffaz ini bakal menjadi imam bagi solat terawih di masjid atau surau terpilih di seluruh negara. Di samping itu, mereka juga akan mengadakan kuliah atau tazkirah bagi menjernihkan maklumat-maklumat semasa yang berlaku di negara masing-masing.

Orang ramai boleh bersama para huffaz di lokaliti masing-masing. Sebarang pertanyaan tentang program ini boleh diajukan ke Pejabat Biro HALUAN Palestin di talian 03 7831 5741 atau melalui Umar Ismail di talian 012 247 9351.

HALUAN juga menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan projek-projek bantuan kemanusiaan dan pembangunan jangka panjang. Mereka yang ingin membantu rakyat Palestin boleh menyalurkannya melalui akaun Tabung Palestin HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad (Nombor Akaun 14-023-01-0034292) atau Maybank Berhad (Nombor Akaun 5644-9020-8528).

Manakala bantuan untuk rakyat Syria, Somalia dan Kemboja boleh disalurkan melalui akaun Tabung Kemanusiaan dan Kebajikan HALUAN di Maybank Berhad (Nombor Akaun 5622-6350-2611).

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts