Rejim Zionis roboh 13 buah rumah di al-Quds

AL-QUDS, 4 Apr 2017 (Maan) — Polis Zionis meroboh beberapa buah bangunan milik penduduk Palestin termasuk empat apartmen yang menempatkan 13 buah rumah, sebuah bangsal pertanian dan lima tembok penahan di perkampungan al-Zaayyem, al-Quds, pagi tadi.

Polis Zionis juga menyerahkan nota arahan meroboh sebuah lagi apartmen yang menempatkan empat buah rumah di kawasan tersebut.

Pihak Zionis mendakwa bangunan terbabit dibina tanpa kebenaran.

Seluas 96% kawasan al-Zaayyem terletak dalam Kawasan C Tebing Barat, iaitu kawasan yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis. Hampir semua permohonan penduduk Palestin mendapatkan kebenaran membina bangunan dalam Kawasan C ditolak oleh rejim Zionis, menyebabkan penduduk terpaksa membina tanpa permit walaupun berhadapan dengan risiko dikenakan denda dan diroboh.

Laporan PBB menyebut sebanyak 140 bangunan milik penduduk Palestin dalam kawasan C telah diroboh sejak awal tahun 2017, menyebabkan seramai 222 orang kehilangan tempat tinggal.

Dalam pada itu, pendatang Yahudi yang tinggal dalam wilayah Palestin yang terjajah, dianggarkan seramai 550,000 orang, diberikan permit pembinaan dengan mudah dan dibenarkan membina struktur tambahan kepada bangunan sedia ada.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts