GAZA, 9 Julai 2014 (Ma’an | ToI ) — Serangan roket yang dilancarkan dari Gaza dilaporkan jatuh di utara Tel Aviv, bandar Hadera di Haifa dan juga Al-Quds (Jerusalem.)
Kenyataan Ḥarakat al-Muqāwamah al-ʾIslāmiyyah (Hamas) menyebut, “buat pertama kali, Briged Qassam menyerang Haifa dengan roket R160, dan Al-Quds yang terjajah dengan empat roket M75 serta Tel Aviv dengan empat roket M75.”
Haifa terletak sejauh 136 kilometer dari Gaza, sementara Tel Aviv adalah sejauh 68 kilometer.
Berikutan serangan ke Tel Aviv, Kedutaan Amerika beroperasi pada tahap minima dan semua pegawainya dilarang keluar dari bangunan atau tempat tinggal.
Kejadian ini merupakan serangan pertama sejak konflik pada tahun 2012 di mana mujahidin Palestin di Gaza menyerang roket ke al-Quds sebagai membalas tindakan rejim Zionis menyerang hendap wilayah Gaza sejak beberapa hari lalu.
Lebih 130 roket dilancarkan ke dalam wilayah negara haram Zionis semalam apabila tentera Zionis melancarkan serangan yang mereka gelar Operation Protective Edge ke atas Gaza.