Runtuhan tanah dedah terowong Yahudi di selatan Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 9 Dis 2018 — Sebahagian besar tanah milik sebuah gereja di belakang Masjid al-Ein di bandar Silwan, yang terletak di selatan Masjid al-Aqsa, mendap dan runtuh selepas hujan lebat selama dua hari berturut-turut, Jumaat lalu.

Kejadian tersebut sekaligus mendedahkan kewujudan jaringan terowong yang digali oleh Yahudi di bawah rumah-rumah penduduk Palestin dan bangunan sekitarnya.

Terowong-terowong tersebut digali oleh pendatang Yahudi merentasi bangunan, rumah dan jalan-jalan di Wadi Hilweh. Kebanyakan rumah di kawasan terbabit menjadi terapung dan boleh roboh apabila tanah dan batuan di bawahnya terhakis oleh pergerakan air.

Rumah-rumah di Wadi Hilweh turut mengalami keretakan dinding, akibat kerja-kerja penggalian yang berterusan sejak bertahun lalu. Pada masa yang sama pihak berkuasa Zionis enggan membaiki kerosakan, bahkan melarang penduduk membaik pulih rumah mereka.

Tahun lalu, rejim Zionis mengarahkan tiga keluarga Palestin mengosongkan rumah mereka yang mengalami keretakan struktur. Mereka bagaimanapun enggan keluar, mendakwa rejim Zionis cuba menghalau mereka keluar dari kota suci Baitulmaqdis.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts