Ringkasan

Sarjan Israel: Kami Mangsa Keganasan Rakyat Palestin

Siapa Pengganas: Anak-Anak Palestin atau Tentera Israel

Pada 2 Disember, Kesatuan Massachusetts Utara untuk Palestin (Western Massachusetts Coalition for Palestine) telah menganjurkan sebuah protes terhadap majlis bertema  : “Menghadapi Keganasan : Sebuah Kisah Realiti” bertempat di kampus Universiti Massachusetts di Amherst. Seorang sarjan dari tentera Israel, Kenny Sachs telah dijemput sebagai penceramah undangan dalam majlis tersebut yang ditaja oleh Persatuan Pelajar Penyokong Israel (Student Alliance for Israel) dan University of Massachusetts Hillel House. Beliau adalah seorang penceramah bagi kumpulan propaganda Israel, Upstart Activist and Divestment Watch.

Melalui topik perbincangan yang disampaikan berkenaan senario yang berlaku di Gaza, istilah ‘rakyat Palestin’ tidak pernah disebutkan. Sebaliknya, istilah ‘pengganas’ (terrorist) telah digunakan bagi menyatakan individu yang menyerang Sarjan Sachs di pos kawalan Erez di utara Gaza. Penerangan selebihnya adalah ‘hikayat’ pertempuran antara Sachs dan ‘pengganas’ yang menyebabkan Sachs ditembak di kaki dan hilang kemampuan untuk bermain bola keranjang.

Kesatuan Massachusetts Utara untuk Palestin (Western Massachusetts Coalition for Palestine) menganjurkan protes ini sebagai tanda persaudaraan dengan rakyat Palestin yang sekian lama djajah oleh Israel. Selari dengan protes senyap di jalanan di  Arizona State University dan University of Michigan, nama kanak-kanak yang dibunuh di Gaza semasa serangan pada musim sejuk  2008-09 ditampal di baju kami. Dengan menggunakan protes senyap sebagai satu wadah tunjuk perasaan yang aman, kami telah menunjukkan bahawa Israel juga selama ini telah ‘membisukan’ tindakan ketenteraan mereka di Palestin – penjajahan, pembinaan tembok maut di Tebing Barat dan angka kematian rakyat Palestin yang menakutkan.

Kenny Sachs berkhidmat dalam pasukan tentera Israel hingga 2003 di Tebing Barat yang dijajah (termasuk Jenin dan Tulkarem), di kawasan Genting Gaza dan Lebanon. Usaha membawa tentera seperti Sachs ke dalam kampus universiti-universiti di Amerika adalah satu cara Israel dalam melakukan penjenamaan semula imej dan ‘merasionalkan agenda penjajahannya, di samping meletakkan imej mereka sebagai mangsa serangan ‘pengganas’.

Ini tidak lain adalah agenda untuk menggelapkan usaha rakyat Palestin dalam menjelaskan realiti sebenar penjajahan Israel dan perjuangan mereka demi keadilan. Dengan menidakkan hak ini dan secara berterusan menekankan tentang hilangnya kemampuan Sarjan Sachs untuk bermain bola keranjang setelah ditembak, Persatuan Pelajar Penyokong Israel (Student Alliance for Israel) jelas gagal memenuhi janjinya untuk menggalakkan diskusi yang konstruktif atau mencetuskan jalan ke arah tercapainya keamanan. Dialog keamanan seumpama ini tiada maknanya selagi mana Israel meneruskan tindakan pembersihan etnik yang dijalankan mereka. Aktivis-aktivis keadilan pula mestilah sentiasa menepis dakyah karut seumpama ini bagi mengelak dari tertipu dengan politik kotor Israel. Yang jelas dari acara tersebut, Persatuan Pelajar Penyokong Israel telah mengelak daripada terlibat dalam apa-apa perdebatan walaupun mempunyai banyak peluang untuk berbuat demikian.

Dengan memprotes acara berunsur propaganda seumpama ini, kami juga menyokong seruan rakyat Palestin untuk memboikot dan terus menentang Israel. Boikot ini akan diteruskan dengan sepenuh hati kami sehinggalah Israel bertanggungjawab terhadap jenayah kemanusiaan yang dilakukannya, menghentikan penjajahan ketenteraan ke atas tanah Israel, menghormati hak pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman mereka sejak 1948 dan menghormati hak sama rata rakyat Palestin di Israel. (ei/uni/hp)
Christopher Clark ialah pelajar tahun tiga di Hampshire College di Amherst, Massachusetts. Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang penentangan komuniti dan Timur Tengah. Beliau adalah ahli Persatuan Pelajar untuk Keadilan di Palestin (Students for Justice in Palestine) dan Kesatuan Massachusetts Utara untuk Palestin (Western Massachusetts Coalition for Palestine).

Diterjemahkan oleh: Irwan Afendi Mohd Naim (Tim Editorial HALUANPalestin)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts