13 September 2009, Shah Alam – Suasana di Masjid Negeri Shah Alam begitu hening sekali,walaupun pada ketika itu hampir 300 orang jemaah berada di dalam dewan solat utama. Sheikh Abu Bakar, seorang ulama yang buta matanya telah memecah keheningan subuh hari itu dengan ucapan sepatah demi sepatah yang mudah difahami oleh mereka yang berbahasa Arab.Beliau memulakan ucapan dengan berdoa kepada Allah dan memohon rahmat Allah kepada seluruh para hadirin. Ucapan beliau diikuti oleh Ustaz Irham yang menterjemahkannya ke dalam bahasa Nusantara Melayu…. Di sana sini kelihatan insan-insan yang mula menitikkan air mata mendengar tazkirah dari Sheikh yang buta itu. Sheikh Abu Bakar baru berusia 47 tahun, tetapi oleh kerana hebatnya siksaan yang diterima ketika dipenjara Israel, beliau kelihatan seakan lebih dari 70 tahun. Beliau telah 13 kali keluar-masuk penjara Israel. Matanya buta setelah berhari-hari dipukul di penjara dan dikenakan renjatan elektrik ketika pertama kali beliau ditangkap dan disiksa selama 53 hari tanpa henti.
“Al-Aqsa adalah bukan hanya milik umat Palestin atau ummat Arab, tetapi ia adalah milik umat Islam seluruh dunia. Ummat Islam wajib berusaha dan berjihad untuk membebaskannya dari cengkaman musuh-musuhnya seperti apa yang berlaku pada hari ini. Al-Aqsa telahpun diwariskan kepada umat Islam oleh Khalifah Islam yg kedua iaitu Syaidina Ummar Al-Khatab kemudian oleh Panglima Sallehuddin Al-Ayubi setelah beliau dapat membebaskan kembali Al-Aqsa dari tentera Salibi. Umat Islam di Palestin telah mendapat amanah untuk mempertahankan Al-Aqsa sejak dari Sultan Abdul Hamid ke-2,setelah beliau diturunkan dari tahtanya dalam tahun 1927.”
“Al-Aqsa adalah kiblat pertama ummat Islam seluruh dunia, Al-Aqsa adalah penghubung bumi dan langit, Al-Aqsa adalah tempat yang diberkahi oleh Allah seperti di dalam surah Al-Isra’:1, Palestin adalah tempat lahir, tempat jihad dan semadinya Rasul-rasul dari kalangan Bani Israel, Al-Aqsa adalah masjid ketiga suci di dalam Islam setelah Masjid Al Haram dan Masjid An Nabawi, Al-Aqsa adalah tempat di mana baginda Nabi SAW mengimami Rasul-rasul yang lain yang menandakan berlakunya perubahan kepimpinan dunia dari Bani Israel kepada Umat Islam.”
“Saudara-saudari yang dikasihi, umat Islam di Palestin telahpun berjihad mempertahankan Al-Aqsa dengan harta, kehormatan dan nyawa. Allah akan tanya ummat Islam seluruh dunia apakah yang telah mereka lakukan untuk membebaskan Al-Aqsa. Doa juga adalah satu satu bentuk jihad, berdoalah untuk membebaskan Al-Aqsa dan Palestin….”
Beliau juga mengingatkan kepada muslimah di Malaysia bahawa Muslimah di Palestin telah berpesan kepada mereka bahawa mereka telah rela mengorbankan suami-suami dan anak-anak lelaki mereka demi mempertahankan Gaza dan Al-Aqsa serta Palestin. Apakah yang telah dilakukan oleh muslimah di Malaysia? Sungguh Allah akan mempersoalkan mereka.
Hadirin semakin sebak dan terdengar suara tangisan kecil di sana sini apabila Tn Haji Norazman selaku Pengerusi HALUAN Palestin menyampaikan berita tentang Kem Pelarian Tanf, iaitu sebuah kawasan gersang yang tidak bertuan yang terletak diantara Syria dan Iraq. Tiada tanaman yang boleh hidup disini dan sumber air pun dibawa oleh lori dari Syria.
Sesungguhnya perjuangan membebaskan Palestin ini menguji aqidah seluruh umat Islam. Apakah kita ambil peduli dengan saudara-saudari kita yang disiksa dan dihina sedemikian rupa? Apakah kita sengaja memejamkan mata, memekakkan telinga, apabila mendengar laungan anak-anak Palestin yang kehilangan ayah ibu, yang sekian lama disekat dan diasingkan dari dunia luar, tanpa makanan, tanpa ubatan? Mereka di Palestin tidak meminta-minta ihsan dari kita, mereka hanya berharap kepada Allah, mereka merasa bangga dengan Islam yang mereka pegang kukuh. Tidak ada apa yang mereka risaukan tentang keperitan hidup yang mereka alami. Yang pasti, insyaAllah mereka akan pulang menemui Allah dengan penuh kemuliaan. Yang seharusnya merasa risau adalah kita yang hidup dalam serba kemewahan ini. Apalah erti kemewahan tanpa kasih sayang kepada saudara-saudari kita di Palestin ini. Apakah kita akan dapat menemui kemuliaan di hadapan Allah kelak?
___________
Tulisan Dr Mohd Arba’ai B Shawal, Setiausaha Sekretariat HALUAN Palestin.