Seorang terbunuh, 30 cedera ditembak pendatang Yahudi

RAMALLAH, 27 Jan 2019 — Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengesahkan seorang penduduk Palestin terbunuh dan sekurang-kurangnya 30 yang lain tercedera ditembak oleh segerombolan pendatang Yahudi di perkampungan al-Mughayyir di timur laut Ramallah, tengahari semalam.

Mangsa-mangsa dikejarkan ke hospital-hospital di Ramallah dan al-Bireh dengan ambulan PRCS.

Mangsa yang terbunuh adalah Hamdi Saadeh Naasan, 38, yang ditembak dengan peluru hidup di bahagian belakang. Ayah kepada empat orang anak itu meninggal dunia selepas tiba di Pusat Rawatan Palestin, Ramallah. Beliau pernah merengkok dalam penjara Zionis selama lapan tahun.

Sementara 30 yang lain turut cedera, enam daripadanya ditembak dengan peluru hidup. Seorang mangsa ditembak di bahagian mulutnya dan dikejarkan ke Hospital Istishari di Ramallah.

Kejadian bermula ketika segerombolan pendatang Yahudi yang bersenjata menggempur al-Mughayyir dan menyerang penduduk, dengan melepaskan tembakan ke arah para pemuda yang cuba menghalang mereka. Puluhan penduduk Palestin dari perkampungan Khirbet Abu Falah yang berdekatan berkejar ke tempat kejadian untuk menghalang serangan pendatang Yahudi itu.

Gerombolan lain pendatang Yahudi bersama pasukan tentera Zionis muncul untuk membantu rakan-rakan mereka, melepaskan tembakan ke arah rumah-rumah dan penduduk.

(IMEMC, PIC, PNN, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts