Serangan Ke Atas Al-Aqsa Merupakan Kehinaan Kepada Dunia – Sheikh Raed

AL-QUDS, 14 Nov 2015 (MEMO) – Serangan dan penodaan tentera Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa membawa kehinaan kepada seluruh masyarakat dunia, kata Sheikh Raed Salah.

Sheikh Raed mengulangi pendiriannya bahawa keganasan pihak Zionis ke atas masjid suci umat Islam itu adalah suatu langkah yang berterusan, sambil merujuk tindakan jahat itu sebagai satu bentuk “perang baharu ke atas Islam.”

Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi dua bilion orang Islam di seluruh pelusuk dunia.

“Rancangan Zionis kini amat jelas,” kata beliau yang juga dikenali sebagai Sheikh Al-Aqsa. “Tujuan utama mereka adalah untuk melaksanakan agenda kumpulan pelampau Yahudi yang berteraskan kepada langkah untuk membahagikan masjid itu mengikut masa dan kawasan tertentu.”

Beliau menekankan bahawa perancangan jahat itu tidak akan dibiarkan selagi mana para “pembela” tempat-tempat suci umat Islam dan Kristian di Al-Quds bertahan. Menurut Sheikh Raed lagi, ketidakstabilan yang berlaku di kota suci itu adalah angkara kejahatan rejim Zionis sendiri.

Dalam pada itu timbalan ketua Pergerakan Islam 1948, Sheikh Kamal Al-Khatib, memberi amaran bahawa Masjid Al-Aqsa bakal melalui hari-hari tegang sepanjang tempoh perayaan Yahudi dari 13 September hingga 5 Oktober. Menurut beliau, serangan yang dilakukan ke atas masjid tersebut hanyalah satu permulaan kepada agenda Zionis yang ingin membahagikan Masjid Al-Aqsa.

Dengan menghalang orang Islam masuk ke masjid dari jam 7:00 hingga 11:30 pagi dan memberi laluan kepada pelampau Yahudi untuk masuk, rejim Zionis sudah menunjukkann bukti bahawa mereka berniat untuk membahagikan masjid itu. Beliau berpendapat bahawa kumpulan-kumpulan Yahudi yang menceroboh masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa merupakan senjata kepada parti-parti yang memimpin rejim Zionis sekarang.

Sheikh Kamal menyeru dunia Arab dan Islam supaya berhadapan dengan perancangan Zionis, di samping mengingatkan kerajaan Jordan terhadap tanggungjawab secara langsung mereka ke atas Al-Aqsa.

Pemerintah kerajaan Jordan memegang amanah pentadbiran dan hal ehwal Masjid Al-Aqsa.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts