Ramallah, 27 Januari – 2 rakyat Palestin tercedera dan sekurang-kurangnya 10 yang lain ditangkap oleh tentera Israel pada pagi hari Selasa, menurut laporan Ramattan News Agency & Media Services.
Menurut sumber-sumber pasukan perubatan, Imad tayeh, 21 tahun, dan Jalal Jamal, 20 tahun, ditembak dan tercedera di kem pelarian Al-Faria, utara Tebing Barat.
Tentera Israel juga menangkap 2 rakyat Palestin di Bethlehem dan 3 lagi di Hebron pada hari yang sama. Menurut sumber pasukan keselamatan, 5 yang lain ditangkap pada hari Isnin di Ramallah.
Sementara itu BBC turut melaporkan serangan udara Israel ke atas Gaza dan juga kemasukan kereta-kereta kebal ke daerah tersebut. Mereka melaporkan, tentera Israel berundur semula beberapa jam kemudian selepas perlawanan di kawasan Khan Younis di selatan Gaza. Ini merupakan keganasan paling teruk sejak kedua-dua pihak mengisytiharkan genjatan senjata.
Ramai penduduk meninggalkan rumah mereka akibat serangan ini. Dilaporkan 20 kereta kebal Israel dan 7 jentolak tentera menyertai serangan hendap itu. Pemberita BBC, Aleem Maqbool, menyatakan walaupun serangan terbaru ini tidak begitu sengit, ia memberi isyarat bahawa keganasan boleh kembali pada bila-bila masa sekiranya perjanjian jangkamasa panjang tidak dipersetujui.
Menurut BBC lagi, Israel juga menghalang kemasukan pasukan bantuan ke Genting Gaza. Agensi-agensi bantuan berhempas-pulas untuk membantu puluhan ribu mangsa yang tercedara dan tidak ada tempat berteduh.