RAMALLAH, 24 Okt 2016 (PIC) — Seramai 42 orang askar Zionis dan pendatang Yahudi mati manakala 680 yang lain cedera dalam serangan sejak tercetusnya Intifadah al-Quds pada bulan Oktober 2015.
Kajian yang dibuat oleh Pusat Kajian Hal Ehwal Israel dan Palestin juga mendapati jumlah serangan ke atas rejim Zionis semakin meningkat kebelakangan ini. Serangan terakhir telah dilakukan oleh Mishbah Abu Shabih di al-Quds pada minggu lalu, yang mengorbankan seorang askar dan seorang pendatang Yahudi serta mencederakan sembilan yang lain.
Statistik menunjukkan sebanyak 121 serangan menikam telah dilakukan, di samping 24 serangan melanggar dengan kenderaan, 101 tembakan, 1,423 dengan menggunakan bom Molotov, 4234 dengan membaling batu, 60 serangan roket dari Gaza serta 29 misil ringan.
Serangan menikam paling banyak terjadi di al-Khalil. 48% penyerangnya adalah berasal dari al-Quds.
Tentera dan badan perisikan Zionis berhadapan dengan cabaran sukar untuk memerangi Intifadah al-Quds kerana 82% daripada jumlah serangan dikatakan sebagai tindakan individu.
Menurut ketua kajian, Ala’ Rimawi, serangan yang dilakukan oleh Mishbah telah memberi kejutan besar kepada rejim Zionis kerana beliau menggunakan senjata dengan begitu mahir serta melakukan serangan dengan sangat berani di hadapan pejabat polis Zionis, hanya satu kilometer dari pejabat Benjamin Netanyahu.