Sheikh Raed: Pencerobohan ke atas al-Aqsa mengisyaratkan fasa bahaya

AL-QUDS, 7 Apr 2016 (PIC) — Pemimpin Pergerakan Islam di Wilayah Palestin 1948 Terjajah, Sheikh Raed Salah, memberi amaran berkait pencerobohan berterusan pendatang Yahudi ke dalam Masjid al-Aqsa, mengisyaratkan bahawa masjid suci umat Islam itu kini memasuki fasa yang bahaya.

Kenyataan media beliau menyebut bahawa Masjid al-Aqsa sedang melalui fasa yang sangat kritikal, terutamanya apabila masjid itu cuba dikosongkan daripada orang Islam bagi memberi laluan kepada pencerobohan secara besar-besaran menjelang perayaan Passover pada hujung bulan ini.

Beliau justeru menyeru penduduk Islam supaya terus datang dan beri’tikaf di dalam masjid walaupun terpaksa berhadapan dengan gangguan rejim Zionis.

Pendatang Yahudi menyeru supaya diadakan pencerobohan pada setiap hari, dengan tujuan mewujudkan pembahagian kawasan dan waktu tertentu ke atas tapak masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu, kemudiannya membina “semula” kuil yang mereka dakwa kononnya pernah berdiri di atas tapak Kubah as-Sakhra’ di perkarangan Masjid al-Aqsa itu.

Sheik Raed turut memberi amaran terhadap seruan Yahudi untuk mengadakan upacara sembelihan di atas Masjid al-Aqsa, di samping melakukan aktiviti sosial dan keagamaan Yahudi yang lain seperti majlis perkahwinan dan berkhatan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts