“Singa al-Aqsa” korbankan diri demi al-Aqsa dan Palestin

AL-QUDS, 10 Okt 2016 (PIP) — Pemuda Palestin Mishbah Abu Sbeih, 39, menulis tentang cintanya ke atas al-Aqsa melalui bait syair di laman Facebook beliau, “Takkan ada yang aku rindui seperti rindunya aku padamu, takkan ada yang aku cintai seperti cintanya aku padamu. Umurku, hidupku dan semua yang aku miliki ku persembahkan untukmu.”

Mishbah yang berasal dari Silwan dan menetap di perkampungan al-Ram memberitahu pada asalnya bersetuju untuk menyerah diri di penjara Ramla pada jam 10:00 pagi, bagi menjalani hukuman penjara selama empat bulan atas tuduhan menyerang seorang anggota polis Zionis pada tahun 2013.

Dalam kejadian tersebut, beliau ditahan di kawasan Bab Hutta di luar Masjid al-Aqsa, namun kemudiannya dibebaskan pada hari yang sama.

Oleh kerana kes tersebut telah ditutup, beliau berkunjung ke kota Mekah untuk melakukan ibadat umrah.

Namun kes tersebut dibuka semula pada bulan Disember 2015, tidak lama selepas beliau dibebaskan setelah merengkok dalam penjara selama kira-kira setahun, atas tuduhan-tuduhan “menghasut” yang berasingan melalui laman Facebook. Antara kesalahannya, beliau menulis, “Kami korbankan jiwa dan darah untukmu al-Aqsa. Kami korbankan anak-anak kami demi al-Aqsa.”

Pada 2 Oktober, beliau diharamkan memasuki mana-mana kawasan kota al-Quds untuk tempoh sebulan, setelah diharamkan memasuki Masjid al-Aqsa selama enam bulan. Julai lalu, beliau tidak dibenarkan ke keluar negara untuk tempoh sehingga ke akhir tahun ini.

Mishbah dikenali sebagai seorang aktivis yang mempertahankan al-Aqsa dan kota al-Quds dari kejahatan Zionis dan pendatang Yahudi, dan digelar sebagai “Singa al-Aqsa.”

Di laman Facebooknya beliau juga menulis, “Betapa besar rinduku dan cintaku, aku ingin pandangan terakhirku adalah Al-Aqsa, aku sangat ingin mencium dan sujud di tanahmu [al-Aqsa]. Aku sangat ingin mencium dan solat di atas tanahmu wahai Al-Aqsa. Akan tetapi kezaliman ini [menghalangiku].”

“Walaupun penjara, kedengkian dan kesombongan mereka sentiasa menghalangi cintaku padamu. Mereka mengatakan, empat bulan dapat memenjarakan cintaku padamu. Maka aku katakan, demi Allah itu sangat sebentar, sebab umurku, hidupku dan semua milikku hanya untukmu. Jika aku tak dapat sampai dengan jasadku, maka jiwaku, hatiku, mataku, takkan dapat dipisahkan darimu. Aku takkan pernah meninggalkanmu, takkan pernah melupakanmu. Cintaku sangat besar padamu, rinduku abadi hingga ajal menjemputku.”

Akhir tulisan di Facebooknya bagaikan sebuah pesan bagi semua orang Islam supaya sentiasa menjaga Masjid Al-Aqsa. Beliau menulis, “Al-Aqsa adalah amanah pada semua bahu kamu, janganlah ia tinggalkan sendirian.”

Beliau merupakan penduduk Palestin yang ke-232 dibunuh oleh rejim Zionis sejak tercetusnya Intifadah al-Quds.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts