Alhamdulillah, syukur kerana kami telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kamal Atarturk, Istanbul pada jam 6:08 pagi waktu tempatan, iaitu bersamaan jam 11:08 pagi waktu Kuala Lumpur. Penerbangan terus dari KLIA ke Istanbul ini telah mengambil masa selama 10 jam 10 minit. Cuaca di Istanbul agak sejuk, 14 hingga 16 darjah Celcius. Mereka di sini sudah mula memasuki musim panas, jadi waktu siangnya agak panjang di mana waktu masuk solat Maghrib adalah jam 8:30 malam dan waktu masuk solat subuh adalah jam 4:40 pagi.
Setelah tiba, kami terus menyelesaikan urusan penginapan. Banyak hotel-hotel berdekatan dengan pejabat IHH, iaitu penganjur utama konvoi ke Gaza ini, sudah penuh. Alhamdulillah kami mendapat penginapan yang tidak jauh dari situ, dalam jarak kira-kira 1 km dari pejabat IHH. Selesai urusan di tempat penginapan, kami terus ke pejabat IHH untuk melengkapkan urusan pendaftaran bagi menyertai konvoi ini. Alhamdulillah kami disambut oleh Timbalan Presiden IHH, Huseyin Oruc, dan kemudiaanya sempat juga berjumpa dengan Presiden IHH sendiri, Bulent Yildirim. Ternyata mereka begitu sibuk dengan persiapan konvoi ini, lebih-lebih lagi semakin ramai sukarelawan dari negara-negara luar sudah mula tiba di Istanbul.
Satu berita yang baik dan menggembirakan mengiringi ketibaan kami di pejabat IHH. Pegawai IHH yang telah di tahan oleh Israel di Tebing Barat, Izzet Sahin’e telah dibebaskan. Beliau tiba di Istanbul Isnin lalu, setelah 21 hari berada dalam tahanan Israel. Hari ini adalah hari pertama beliau menyambung kerja di pejabat IHH. Ternyata rejim Zionis Israel tertekan dalam kes penahanan beliau, kerana tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh Izzet Sahin’e. Apa yang jelas, Zionis Israel telah merasai bahang konvoi yang akan memasuki Gaza.
Selepas makan tengahari yang ringkas di dewan makan IHH, kami terus ke Pelabuhan Eminonu, Istanbul. Di situlah kapal penumpang utama yang bakal membawa kami ke Gaza, yang diberi nama “Mavi Marmara”, sedang berlabuh. Di dalam kapal tersebut, kapten kapal Mehmet Kara telah memberikan satu taklimat mendalam kepada kami dan juga sukarelawan-sukarelawan lain daripada Turki dan luar negara. Kapal Mavi Marmara boleh menampung seramai 1080 orang penumpang. Tetapi untuk misi ini, mereka akan benarkan tidak lebih 1000 orang untul menaiki kapal ini, termasuk anak-anak kapal.
Banyak perkara strategik yang dibincangkan di dalam taklimat tersebut. Antaranya, tidak ada siapa dibenarkan bertindak mengikut kekuatan diri sendiri, sebaliknya setiap tindakan mestilah mengikut arahan ketua misi. Ini adalah antara perkara yang paling mustahak dalam perjalanan konvoi nanti, kerana kami menjangkakan pihak Zionis akan melakukan pelbagai provokasi untuk menggagalkan usaha ini.
Setakat ini sebanyak 9 buah kapal bersedia untuk berlepas. 3 buah kapal daripada Turki, selebihnya dari negara luar termasuklah Ireland, Sweden, Greek dan England. Kapal-kapal daripada Turki akan bertolak dari Pelabuhan Eminonu ke Pelabuhan Antalya di selatan Turki. InsyaAllah kami dijangka akan sampai di Antalya sebelum jam 9 malam, 24hb Mei. Kami seterusnya dijadualkan bertolak ke Gaza pada jam 5:00 pagi 25hb Mei. Kapal-kapal dari negara lain akan menunggu kami di Cyprus.
Tidak ada perancangan jangkamasa masa yang spesifik untuk menjayakan konvoi ini, tetapi kami dijangkakan mengambil masa selama sekurang-kurangnya 15 hari untuk peri ke Gaza dan kembali ke Istanbul. Kapal Mavi Marmara membawa bekalan makanan dan minuman yang cukup untuk tempoh sehingga satu setengah bulan. 70 tan air minuman akan dibawa, di mana hanya 2.5 liter akan akan diberi kepada setiap penumpang untuk setiap hari. Sekiranya kami ditakdirkan berada di lautan lebih daripada satu setengah bulan, bekalan tambahan untuk kami akan dibawa menggunakan kapal-kapal lain yang akan sampai daripada Istanbul atau pelabuhan-pelabuhan lain yang lebih dekat.
Sebenarnya banyak perkara diperkatakan tentang cabaran dan halangan yang bakal kami hadapi. Pelbagai teknik dan taktik Zionis Israel digambarkan oleh media dan masyarakat. Namun setakat ini tidak ada langsung kenyataan rasmi Zionis Israel yang menyatakan mereka akan bertindak menyerang konvoi ini. Yang ada cumalah kenyataan-kenyataan media Israel yang cuba menakutkan perancangan konvoi dan peserta-pesertanya. Apa yang jelas, kami tetap dengan misi kami untuk menyampaikan setiap barangan bantuan kemanusiaan ini kepada mangsa-mangsa keganasan Israel yang sedang menderita di Gaza. Ketika ditanya apakah ada perancangan-perancangan lain sekiranya konvoi ini tidak berjaya memasuki Gaza, Presiden IHH Bulent Yildirim menjawab, “Plan A kita adalah kita akan memasuki Gaza. Plan B kita adalah kita akan memasuki Gaza. Dan Plan C kita adalah kita akan memasuki Gaza”.
Ingin kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang begitu prihatin terhadap permasalahan kemanusiaan di Gaza, yang telah sudi menghulurkan bantuan menjayakan misi ini. InsyaAllah, kami berjanji bahawa kami akan menjalankan amanah yang kami pikul dengan penuh ikhlas dan kesungguhan. Semua kami di sini begitu bersemangat tinggi, terutama sekali apabila sudah merasai suasana kehangatan konvoi dalam masyarakat kotaraya Istanbul.
Alhamdulillah, kami tidak lupa hakikat kekuatan Allah Yang Maha Esa. Kepada Allahlah kami bergantung, kepadaNya jua kami berharap. Semoga anda di tanahair dapat terus bermunajat kepada Allah agar kami diberi kekuatan roh dan fizikal, dicekalkan hati kami untuk tetap ikhlas dalam perjuangan ini dan dipermudahkan urusan kami di sini dan juga urusan keluarga kami yang ditinggalkan di tanahair.
Teruskanlah usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan misi ini. Teruskanlah menghulurkan derma, kerana terlalu banyak dana yang diperlukan untuk meneruskan kejayaan misi ini. Kami tidak pasti berapa lama masa yang diperlukan untuk sampai ke Gaza. Semuanya memerlukan kepada dana yang cukup untuk, terutama sekali untuk menyelenggara kapal dan kemudahan-kemudahan lain.
Kami, termasuklah Hj Jamuliddin Elias daripada Yayasan Amal, Dr Selamat Aliman daripada Jamaah Islah Malaysia (JIM), Halim Mohamed Redzuan daripada Muslim Care, Hj Noorazman Mohd Samsuddin dan sukarelawan-sukarelawan lain daripada HALUAN, amat mengharapkan kepada doa anda semua dan juga usaha berterusan untuk mengumpul dana bagi menjayakan misi ini. Bantuan boleh disalurkan terus ke akaun khusus misi ini, iaitu Tabung Palestin HALUAN, di Maybank Berhad nombor akaun 5644-902-085-28.