Tangisan Gaza UiTM Puncak Perdana Mendidik Pelajar

SHAH ALAM, 2 Mac 2011 — Fakulti Filem, Teater & Animasi, Universiti Teknologi MARA dengan kerjasama Biro HALUAN Palestin telah menganjurkan Kempen Kutipan Derma Program “Tangisan Gaza” yang berlangsung di UiTM Kampus Puncak Perdana di sini. Kempen tersebut yang telah berjalan sejak seminggu yang lalu dan berakhir hari ini merupakan salah satu acara utama dalam program Minggu Destini Siswa pada semester ini.

Kempen selama tujuh hari ini berakhir dengan sesi ceramah yang telah dihadiri sekitar 120 orang pelajar dan staf UiTM. En Mohd Erman Maharam, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mengalu-alukan kehadiran NGO HALUAN untuk memberi penerangan dan kesedaran tentang usaha-usaha pembebasan bumi Palestin bagi kita sebagai umat Islam.

Tegas beliau lagi, “Semoga program seperti ini akan mampu menyuntik dan mengubah sahsiah diri pelajar-pelajar sekalian dan sama-sama menyokong segala usaha kepada pembebasan Palestin kerana ia merupakan satu ibadah.”

Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, turut hadir menyampaikan ceramah dan tayangan filem “Tears Of Gaza”. Dr Syed Muhammad Haleem menekankan tentang kewajipan dan peranan umat Islam dalam menangani permasalahan Palestin. Beliau juga telah menyampaikan beberapa berita perkembangan terkini yang sedang berlaku di Palestin, khususnya di Gaza.

HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada warga UiTM, terutama sekali kepada barisan penggerak Sekretariat Mahasiswa Fakulti Filem, Teater dan Animasi di atas kesungguhan mereka dalam memperjuangkan isu Palestin. Semoga usaha gigih ini akan diteruskan dengan lebih baik lagi.

 tangis-uitm-03

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts