AlhamdulliLlah kami telah berkesempatan mengunjungi İzzet Şahin’i, wakil IHH di Tebing Barat yang baru dibebaskan dari penjara Zionis Israel. Banyak perkara yang sempat kami bincang walaupun jadual beliau begitu ketat akibat kerja-kerja tertunggak ekoran daripada tahanan tersebut. Kami juga merasa amat teruja dengan kesungguhan beliau membahagikan masa untuk kerja dan juga keluarga dalam kesibukan kerja-kerja amal yang beliau berikan dengan penuh komitmen ini.
Berikut adalah sedutan temubual bersama beliau:
Boleh tuan terangkan secara ringkas tentang diri tuan, apa peranan tuan di dalam IHH, dan apa yang telah tuan lakukan di Tebing Barat sebelum ditangkap dan ditahan oleh Israel?
Nama saya İzzet Şahin’i. Saya pernah tinggal di Johanesberg, Afrika Selatan selama 2 tahun. Kemudian saya tinggal di Kanada selama 5 tahun, di mana saya bekerja untuk Islamic Foundation di Montreal. Pada tahun 2005 saya kembali ke Turki dan saya mula bekerja dengan IHH. Saya mula bekerja di IHH sebagai Koordinator kepada negara-negara Eropah, Amerika, dan Amerika Selatan. Kemudian pada 28 November 2009 saya pergi ke Palestin untuk menjalankan projek sembelihan qurban selama kira-kira seminggu. Selepas selesai projek tersebut, saya menuntut di Universiti Hebrew di Jerusalem untuk pelajari bahasa Hebrew. Selepas itu IHH minta saya menguruskan pembukaan sebuah pejabat cawangan IHH di Tebing Barat, iaitu satu cawangan baru selepas pembukaan cawangan di Gaza. Selepas peperangan di Gaza, kami telah membuka pejabat IHH di Gaza pada awal tahun 2009. Segala kerja dan urusan kami untuk membuka cawangan baru di Ramallah dilakukan mengikut prosedur. Berikutan dengan pembukaan pejabat itu, saya menjadi wakil IHH di Tebing Barat.
Kami dapat tahu bahawa tuan fasih bertutur dalam beberapa bahasa asing.
Bahasa ibunda saya adalah bahasa Turki. Kemudian saya belajar bahasa Arab, saya juga tahu bahasa Inggeris, dan saya juga belajar bahasa Perancis semasa tinggal di Kanada. Saya juga telah mula belajar bahasa Hebrew.
Apa yang sebenarnya berlaku ketika tuan ditangkap oleh Israel?
Sebenarnya perkara itu merupakan suatu yang mengejutkan buat saya. Saya tinggal di Jerusalem, dan saya tahu mereka sentiasa memberi perhatian kepada parti-parti politik, pergerakan Islam, malahan juga individu-individu tertentu. Jadi saya tidak sekali-kali melibatkan diri dengan mereka itu. Tapi nampaknya mereka (Israel) tidak mahu mana-mana NGO dari luar membantu rakyat Palestin. Ini adalah suatu yang bertentangan dengan cita-cita mereka. Mereka mahu rakyat Palestin meninggalkan negara mereka seberapa segera, supaya dapat mereka ambil-alih.
Pada 27 April, saya telah membuat lawatan ke beberapa tempat di Bethlehem. Ketika itu saya dalam perjalanan ke Jerusalam. Apabila sampai di satu sekatan, mereka menahan dan terus membawa saya ke sebuah penjara di Jerusalem. Pada hari berikutnya mereka bawa saya ke Tel Aviv, di mana saya dipenjarakan selama 20 hari. Jadi saya telah dipenjarakan selama 21 hari. Saya disoal-siasat selama kira-kira 60 jam, sebanyak 14 kali.
Bagaimana pula tindakan keluarga dan IHH bila mereka mendapat berita penahanan tersebut?
Alhamdulillah, keluarga saya, isteri, anak-anak, ibubapa, saudara-mara dan kawan-kawan semuanya tahu apa yang dilakukan oleh Israel selama ini, sebelum mereka menangkap saya. Mereka menangkap saudara-saudara di Palestin sejak hampir satu abad yang lalu. Jadi, dalam satu panggilan telefon sebelum saya ditangkap saya memberi tahu mereka supaya bersedia untuk sebarang kejutan kerana kita berhadapan dengan Israel. Mereka tidak memerlukan sebarang alasan atau bukti untuk menahan sesiapa saja ke dalam penjara. Alhamdulillah, mereka berjiwa kental, dan mereka menghadapi semuanya dengan penuh ketabahan.
IHH pula telah melakukan suatu yang terbaik. Di peringkat awal, mereka cuba menyelesaikan perkara ini secara senyap-senyap. Tetapi selepas tidak ada sebarang kejayaan, mereka mula membuat hebahan bahawa penahanan ini adalah merupakan suatu ketidak-adilan yang sangat bertentangan dengan hak-hak asasi manusia, suatu yang menghina kemuliaan diri dan kemanusiaan. Mereka mula bertindak di Istanbul, di seluruh Turki dan negara-negara luar. Mereka menghantar faks dan mengadakan protes ke atas Israel dengan pelbagai cara. Jadi perkara ini membantu ke arah pembebasan saya.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Turki, termasuklah Perdana Menteri, Menteri Luar dan Kedutaan kami di Tel Aviv. Mereka telah melakukan suatu yang terbaik sejak dari awal sehinggalah saya dibebaskan. Mereka berhubung dengan kerajaan dan menteri-menteri Israel. Alhamdulillah saya akhirnya bebas.
Apa perasaan tuan bila ditangkap dan diletak dalam tahanan?
Ia merupakan hari-hari yang malang bagi saya kerana itu merupakan kali pertama saya ditangkap oleh polis, bukan polis, tetapi sebenarnya tentera. Bayangkan seseorang dimasukkan ke dalam penjara tanpa diberi sebarang peluang untuk berhubung dengan keluarganya, malahan tidak langsung tahu apa kesalahannya. Hingga kini mereka masih tidak memberi tahu kami sebab-sebab saya ditahan. Malahan mereka terus memanjangkan tempoh tahanan saya di dalam penjara sebanyak 3 kali melalui keputusan di mahkamah. Satu perasaan yang sangat menyedihkan bagi saya.
Saya adalah seorang yang aktif. Saya bukan saja berkhidmat di sini, malahan di merata dunia. Mereka penjarakan saya dalam kurungan seluas 5 meter persegi. Kadang-kadang bersama tahanan lain, dan sebahagian besarnya berseorangan. Mereka tidak pernah memberitahu saya apa yang akan berlaku esok hari, ataupun minggu depan. Itu merupakan kejadian yang malang bagi saya, dipenuhi dengan berbagai-bagai kesusahan.
Tapi sekarang saya berada di sini, di Turki, tapi saya tidak merasakan diri saya sudah dibebaskan kerana saya tinggalkan ratusan saudara-saudara di dalam penjara. Saya juga tinggalkan 12 hingga 14 ribu tahanan saudara-saudara Palestin saya yang majoritinya dipenjarakan tanpa sebarang sebab. Mereka hanya mempertahankan diri, harta, kehidupan dan tanahair mereka.
Adakah tuan dicederakan ketika dalam tahanan?
Secara fizikalnya tidak. Tapi mereka siksa pemikiran dan jiwa saya. Memenjarakan seseorang di dalam bilik kecil, membuat ugutan untuk dipenjarakan sehingga 15 tahun, soal-jawab berterusan sehingga 9 jam. Mereka tidak pernah menyoal tentang diri saya. Mereka juga tidak pernah membuktikan saya telah melakukan sesuatu bertentangan dengan undang-undang sepanjang 5 bulan saya berada di sana. Mereka hanya menyoal soalan-soalan tentang IHH, mengapa saya bekerja di Gaza, kenapa saya bekerja di Tebing Barat, dan kalau kamu mahu bekerja di sini, kamu harus mendapatkan kebenaran kami (Israel).
Mereka sebenarnya tidak mengiktiraf negara Palestin di bumi tersebut. Pada mereka, semua bumi di situ adalah hak milik Israel. Jadi bila mereka kata di sana tidak ada negara Palestin, sebarang pekerjaan di bumi Palestin walaupun kerja-kerja amal kemanusiaan akan dikira sebagai menentang mereka. Saya dimasukkan ke dalam penjara bukan kerana apa-apa yang telah saya lakukan, tetapi kerana saya rasa ianya berkaitan dengan apa yang kami rancang berkenaan misi kapal-kapal ke Gaza.
Bagaimana tuan dapat bersabar ketika dalam tahanan mereka?
Pertamanya, AlhamduliLlah saya tidak melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kehendak Allah SWT dan juga kawan-kawan saya. Keduanya, saya sebenarnya bukan berseorangan di sana. Saya bukanlah orang yang pertama di tahan, dan malang sekali saya juga bukan orang yang terakhir. Ribuan saudara-saudara saya yang melalui nasib seperti saya. Saya sendiri telah menjadi saksi kepada situasi mereka di dalam penjara, membuatkan saya merasa lebih kuat.
Saya berpegang kepada Allah SWT. Saya berkhidmat untuk kemanusiaan saudara-saudara kita di Palestin. Jadi bila saya ditangkap dan disiksa atas sebab-sebab itu, maka saya berasa sangat bersemangat. Saya hanya mampu ucapkan AlhamduliLlah.
Bagaimana agaknya peristiwa penangkapan ini memberi kesan kepada kehidupan tuan?
Sebenarnya, mereka memberi tekanan kepada saya untuk bekerja dengan lebih gigih lagi. Jika mereka benarkan saya untuk pulang ke Turki tanpa masalah seperti itu, tidak akan ada siapa yang tahu tentang diri saya. Saya hanya seorang rakyat biasa. Tetapi Israel telah melakukan satu kesilapan yang besar. Sejak pertama saya menjejakkan kaki semul ke Turki, hingga sekarang saya mendapat perhatian daripada puluhan program-program media di TV dan akhbar-akhbar.
Saya gunakan peluang ini untuk menjelaskan masalah saudara-saudara kita di Palestin, di mana keadaan mereka jauh lebih teruk daripada apa yang saya telah alami. Saya tidak akan berhenti, saya akan teruskan kerja membela saudara-saudara kita di Palestin hinggalah saya dipanggil pulang oleh Allah. Itulah pengajaran yang saya ambil daripada kejadian ini.
Apakah impak penangkapan tuan terhadap konvoi yang akan kita lakukan?
Betul, mereka tangkap saya kerana mereka ingin menghalang konvoi ini. Itulah tujuan mereka. Saya faham perkara tersebut kerana mereka tidak ada apa-apa alasan untuk menangkap saya.
Ya, penangkapan itu mengganggu perancangan konvoi ini untuk tempoh 21 hari, ia juga mengganggu rakyat Turki. InsyaAllah kes saya ini membuatkan pasukan kita lebih kuat dan bersemangat. InsyaAllah kita akan sampaikan semua bantuan ini kepada saudara-saudara kita di Gaza dalam masa terdekat.
Apa nasihat tuan kepada saudara-saudara kita yang ingin membantu rakyat Palestin?
Bagi saudara-saudara kita di Palestin, bantuan kemanusiaan sahaja adalah tidak mengcukupi. Kita jangan lupa terhadap isu hak asasi kemanusiaan, kerana isu tersebut di Palestin adalah lebih penting daripada program bantuan kemanusiaan. Jika Israel membenarkan mereka hidup bebas, mereka tidak perlu kepada sebarang bantuan dari luar. Jadi masalah sebenarnya adalah tentang penafian hak saudara-saudara kita di Palestin. NGO dari seluruh dunia harus menyuarakan permasalahan untuk mempertahankan hak saudara-saudara kita di Palestin. Saya harap Israel akan balik ke pangkal jalan, dan biarkan rakyat Palestin hidup bebas, InsyaAllah.
Kalau diberi peluang, adalah tuan akan pergi lain ke Palestin?
Hari ini pun saya akan pergi! Malangnya mereka masih menyimpan paspot saya. Kalau saya ada paspot, dan mereka beri kebenaran, saya akan kembali ke Palestin hari ini juga. Palestin tetap berada di dalam hati saya. Kita tidak akan lupakan Palestin dan saudara-saudara kita di Palestin, dan InsyaALlah tidak lama lagi saya akan kembali ke sana.
Apa nasihat tuan kepada masyarakat di Malaysia?
Pertama sekali, kami sedar bahawa saudara-saudara kita di Malaysia tidak pernah lupakan isu Palestin dan saudara-saudara mereka di Palestin. Kehadiran anda semua di sini membuktikan rakyat Malaysia sentiasa merasai penderitaan yang di alami oleh saudara-saudara di Palestin. Semoga Allah membantu mereka. Kita semua merupakan satu badan, jadi kita perlu merasai apa yang dideritai oleh saudara-saudara kita di Palestin dan juga lain-lain tempat di dunia ini.
Tetapi isu Palestin adalah merupakan isu yang sangat penting. Sekiranya orang Islam dapat menyelesaikan permasalahan Palestin, bukan sahaja orang Islam malahan seluruh dunia akan hidup dengan penuh kemuliaan dan kebebasan. Saya harap rakyat Malaysia dapat terus menyokong NGO-NGO Malaysia yang membantu saudara-saudara di Palestin. Jangan sekali-kali lupakan saudara-saudara kita itu di dalam doa anda. JazakumuLlahu Khairan.