Tentera Zionis bunuh Ahmed Jarrar di Jenin

JENIN, 6 Feb 2018 — Tentera penjajah Zionis membunuh pejuang Briged al-Qassam, Ahmed Naser Jarrar, dalam operasi di barat Jenin pagi tadi.

Ahmed Jarrar, 22, yang disyaki terlibat dalam pembunuhan rabai Raziel Shevach di laluan masuk pos penempatan haram Havat Gilad pada 9 Januari lalu, jatuh syahid setelah berbalas tembakan di bandar al-Yamun.

Tentera Zionis mendapat maklumat tentang lokasi Ahmed Jarrar di Jenin seawal jam 3:00 pagi. Pasukan tentera mengarah beliau keluar dari bangunan dengan menggunakan pembesar suara, namun Ahmed Jarrar tidak muncul. Mereka kemudian melepaskan tembakan meriam ke arah banguan tersebut sebelum mula merobohnya dengan buldozer, untuk memaksa beliau keluar.

Tentera Zionis turut menangkap beberapa orang penduduk Palestin yang dituduh membantu Ahmed bersembunyi.

Jenazah beliau dibawa keluar dari bawah runtuhan bangunan dalam keadaan berlumuran darah dari bahagian kepala hingga ke kaki. Tentera Zionis membenarkan ahli keluarganya mengambil pakaian dan mushaf al-Quran Ahmed, tetapi menahan jenazah beliau.

Beliau adalah anak kepada komandan Briged al-Qassam, Naser Jarrar, yang dibunuh pada tahun 2002 dalam kempen Intifadah Kedua.

Ahmed digelar sebagai “Hantu dari Jenin” kerana berjaya lolos dari buruan tentera Zionis sejak sebulan lalu.

Sepanjang operasi memburu Ahmed Jarrar, tentera Zionis telah membunuh sepupunya Ahmed Ismail Jarrar, 31, dalam operasi selama 10 jam di kejiranan Wadi Bruqin di kota Jenin pada 18 Januari lalu, dan Ahmed Samir Abu Obeid, 19, juga di Wadi Bruqin Sabtu 3 Januari lalu. Tiga buah rumah keluarga Jarrar telah dimusnahkan.

Beliau merupakan graduan ijazah Pemasaran dari Universiti Amerika di Jenin.

(PIC, IMEMC, Maan, Alray)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts