Tentera Zionis culik 16 penduduk Palestin

JENIN, 16 Mei 2018 — Tentera penjajah Zionis menculik sekurang-kurangnya 16 penduduk Palestin dari beberapa wilayah di Tebing Barat dan Baitulmaqdis sepanjang awal pagi tadi.

Pasukan tentera Zionis menceroboh masuk perkampungan Be’er al-Basha di selatan kota Jenin, dan menculik dua penduduk Rakan Daoud Ghawadra dan Shadi Ali Ghawadra.

Mereka turut menyerbu perkampungan Madama di selatan Nablus dan menculik tiga orang iaitu Mohammad Issa Nassar, 22, Rashid Ramez Nassar, 26, dan Ra’ad Mo’tasem Ziyada, 16. Kota Qalqilia turut diserang, di mana seorang kanak-kanak Ahmad Issa Sabri, 15, diculik.

Di Ramallah, tentera Zionis menculik Issam Abu Alia dari perkampungan al-Mughayyir dan bekas tahanan politik Mo’men Zeid dari kem pelarian al-Jalazoun, Mohammed Hamed dari bandar Beitin dan Aseed Abu Odai dari bandar Kafr Ni’ma. Mereka turut memecah masuk sebuah bangunan di kejiranan al-Masayef dan menggeledah flat-flat yang ada di situ serta memeriksa kad pengenalan penduduk.

Manakala di al-Khalil, tiga orang diculik iaitu Mohammad Yousef Janazra, 16, dari kem pelarian al-‘Arroub, serta Abdul-Razeq as-Sil, 20, dan Eyad Ismael ‘Eid, dari perkampungan Shiokh al-‘Arroub.

Dalam kejadian di kem pelarian al-Fawwar di selatan al-Khalil, tentera menaiki sebuah bangunan dan menaikkan bendera Zionis untuk dijadikan menara kawalan.

Di kota Baitulmaqdis, tentera Zionis menceroboh masuk kem pelarian Shu’fat dan menculi dua beradik Mos’ab dan Yousef Taweel.

(IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts