Tentera Zionis culik 8 penduduk Palestin

RAMALLAH, 29 Jan 2019 — Tentera penjajah Zionis menculik sekurang-kurangnya lapan penduduk Palestin dan mencederakan tiga yang lain di Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Persatuan Tahanan Palestin (PPS) mengesahkan empat orang diculik dari Jenin, dua dari Tulkarem, seorang dari Nablus dan seorang lagi dari Ramallah.

Dalam kejadian di Beit Lahm, tentera Zionis menyerang Suleiman Abed al-Karim Moussa selepas menyekat beliau di sebuah sekatan jalan. Pemuda dari kem pelarian al-Azzeh itu cedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Di bandar Silwad yang terletak di antara kota Ramallah dan al-Bireh, bekas tahanan Muhammad Abed al-Nasser Hamed, 23, diserang selepas tentera memecah masuk dan menggeledah rumahnya dengan melepaskan anjing-anjing pengesan.

Seorang lagi penduduk, Alaa Abu Khalifa, diserang ketika tentera Zionis menggeledah rumahnya di kem pelarian Jenin.

Puluhan anggota tentera Zionis menggempur Tulkarem di awal pagi dan menculik dua pemuda setelah memecah masuk dan menggeledah rumah mereka di bandar Bal’a. Mereka turut memasang sekatan-sekatan jalan untuk menyekat dan memeriksa penduduk.

Pertempuran tercetus apabila tentera menyerbu kem pelarian Jenin dan memecah masuk rumah-rumah penduduk, di mana dua orang diculik. Seorang penduduk tercedera diserang dalam rumah beliau sebelum tentera menangkap adiknya. Manakala beberapa orang yang lain tercedera akibat tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Tenetra Zionis turut memecah masuk dan menggeledah rumah jurnalis Ali Samoudi, serta menculik anak lelakinya Mohammed.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts