Tentera Zionis dan pendatang Yahudi serbu Nablus, bertempur dengan penduduk

NABLUS, 28 Feb 2018 — Kumpulan pemuda Palestin bertempur dengan tentera Zionis di kota Nablus apabila sekitar 1,500 pendatang Yahudi menyerbu perkampungan mereka untuk melakukan ritual di sebuah makam bersejarah awal pagi tadi.

Gerombolan besar tentera Zionis yang menaiki kenderaan dan berjalan kaki memasuki kawasan timur Nablus sebelum tengah malam tadi, bagi memastikan laluan selamat bagi pendatang Yahudi masuk.

Bagaimanapun puluhan pemuda Palestin menutup laluan ke makam tersebut, dengan membakar tayar dan membaling batu ke arah tentera Zionis.

Pertempuran tercetus di Jalan Amman dan al-Quds, serta laluan masuk kem pelarian Balata di mana pasukan tentera melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata.

Tentera Zionis dan pendatang Yahudi menyerbu kawasan timur Nablus setiap minggu, untuk melakukan ritual di makam tersebut. Mereka mendakwa tapak itu sebagai makam Nabi Yusuf, bagaimanapun sejarawan Palestin mengesahkan bahawa ianya adalah makam seorang ulamak Islam di zaman pertengahan, bernama Sheikh Yousef al-Duwaik.

Pada tahun 1996, sembilan askar Zionis terbunuh dalam pertempuran di situ. Tentera Zionis diserang sekali lagi ketika mereka beredar meninggalkan makam tersebut pada tahun 2000. Disember tahun lalu, tentera Zionis menyerbu tapak tersebut buat pertama kali sejak 17 tahun.

(PIC, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts