Tentera Zionis geledah rumah, culik 28 penduduk Palestin dan aktivis antarabangsa

JENIN, 5 Julai 2018 — Tentera penjajah Zionis memecah masuk, menggeledah rumah serta menculik sekurang-kurangnya 28 penduduk Palestin termasuk seorang bekas menteri dan 2 aktivis antarabangsa dari Tebing Barat sejak malam tadi.

Seramai 11 orang diculik dari perkampungan al-Khan al-Ahmar di pinggir Baitulmaqdis.

Dua orang bekas tahanan diculik dari wilayah Jenin, termasuk bekas menteri kabinet Wasfi Qabha.

Manakala dua orang lagi diculik dari Qalqilya, di mana pertempuran tercetus sejurus selepas tentera Zionis menyerbu bandar tersebut dan menyerang wanita Palestin.

Tentera Zionis turut memecah masuk dan menggeledah rumah pemimpin majlis perwakilan pelajar Universiti Birzeit, Yehya Abu Rabi’. Pada masa yang sama tiga orang diculik dari Ramallah.

Sementara setiausaha Pergerakan Fatah, Khaled al-Batat, diculik dari bandar Dhahriya di selatan wilayah al-Khalil. Beberapa buah rumah lain turut dipecah masuk di al-Khalil termasuk bekas tahanan Ahmed Murad, di mana beliau dipukul teruk sehingga tercedera dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Wang tunai bernilai ribuan Shekel turut dirampas oleh tentera Zionis ketika memecah masuk rumah-rumah di Halhul, Beit Ummar dan kem pelarian Arroub di al-Khalil.

Di bandar Abu Dis, Baitulmaqdis Timur, tentera Zionis menculik Ali Danden bersama bapanya Jamal. Jamal merupakan seorang pengawal keselamatan di Universiti al-Quds.

Puluhan buah kenderaan peronda tentera Zionis menyerbu kota Nablus, di mana rumah seorang ahli majlis tempatan, Amjad al-Qat, serta rumah-rumah saudara mara beliau dipecah masuk. Tentera Zionis menyoal siasat penduduk di situ, sehingga mencetus kemarahan dan pertempuran.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts