Tentera Zionis halang penduduk Palestin bina rumah di Tebing Barat

BEIT LAHM, 6 Ogos 2019 — Tentera penjajah Zionis petang semalam menangkap seorang penduduk Palestin bersama dua anak lelakinya, serta merampas alat-alat yang digunakan untuk membina rumah mereka di bandar Nahalin, barat Beit Lahm.

Gerombolan tentera Zionis menyerbu bandar Nahalin, menyekat Mohamed Shakarneh dan menghalang beliau meneruskan kerja-kerja pembinaan, sebelum menangkap beliau bersama dua anaknya Kamal, 17, dan Qais, 4.

Mereka turut merampas dua buah mesin pembancuh simen dan sebuah pam dari tapak pembinaan, serta merampas kad pengenalan pemandu-pemandu lori dan memaksa mereka memindahkan peralatan terbabit ke blok penempatan haram Gush Etzion.

Datuk Bandar Nahalin, Hani Fanoun, bimbang pihak tentera akan meroboh rumah yang masih dalam pembinaan itu, sepertimana yang berlaku di perkampungan Wadi Rahhal baru-baru ini.

Nahalin terletak dalam kawasan yang dirancang oleh rejim Zionis bagi meluaskan kawasan penempatan haram Betar, yang dibina di atas tanah yang dirampas dari penduduk Palestin.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts