Tentera Zionis henti serangan ke atas Gaza

GAZA, 31 Ogos 2020 — Rejim Zionis dilaporkan bersetuju menghentikan serangan harian ke atas Gaza, selepas satu persefahaman melalui diplomasi Qatar.

Tentera Zionis menyerang Gaza setiap malam sejak dua minggu lalu, menutup kemasukan barangan termasuk bekalan minyak melalui pintu lintasan sempadan Karem Abu Salem, serta menutup zon menangkap ikan di perairan Mediterranean.

Rejim Zionis mendakwa tindakan tersebut sebagai tindak balas ke atas penduduk Gaza yang melepaskan belon membawa api ke kawasan sempadan, menyebabkan kebakaran di kebun-kebun pendatang Yahudi. Penduduk Gaza mengadakan bantahan berdekatan kawasan pagar sempadan bagi membantah pengkhianatan rejim Zionis ke atas persefahaman damai bagi melonggarkan sekatan yang dikenakan sejak 14 tahun lalu.

Antara lain, persefahaman terbaharu rejim Zionis melibatkan persetujuan berikut:

  • Tentera Zionis akan menghentikan semua serangan bom ke atas Gaza, dan penduduk Palestin akan menghentikan tindakan menerbangkan belon ke dalam wilayah yang diduduki Zionis.
  • Rejim Zionis akan membenarkan pelaksanaan beberapa projek ekonomi di Gaza, bagi membantu keadaan ekonomi dalam wilayah terkepung itu secara langsung.
  • Rejim Zionis akan membenarkan kemasukan minyak disel bagi mengoperasi semula penjana kuasa elektrik Gaza.
  • Zon perikanan di perairan Mediterranean sepanjang pantai Gaza akan dibuka semula.
  • Peralatan dan bahan perubatan kecemasan bagi menangani pandemik Covid-19 akan dibenarkan masuk ke Gaza.

(Palestine Chronicle)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts