AL-KHALIL, 3 Julai 2016 (PIC) — Tentera Zionis mengenakan kepungan ke atas kawasan perkampungan dan bandar di seluruh wilayah al-Khalil di selatan Tebing Barat untuk hari ketiga berturut-turut.
Pertempuran dengan penduduk dilaporkan berlaku apabila tentera penjajah menyerang masuk bandar Bani Na’im dengan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan grenad pelali ke arah penduduk yang membuat bantahan.
Tentera Zionis turut menangkap saudara perempuan kepada Muhammad Nasser Tarayra, remaja yang menikam mati pendatang Yahudi di penempatan haram Kiryat Arba beberapa hari lalu.
Pertempuran juga berlaku di kem pelarian Fawar setelah pasukan tentera memecam masuk rumah penduduk untuk mencari jurulatih Fedha Hadeed, pegawai polis Tareq Hadeeb dan seorang lagi pemuda.
Mereka juga menyerang pemuda Luay Masharqa dan Luay Hadeed secara ganas selepas mengikat mereka di sebatang tiang elektrik.
Manakala di persimpangan Beit Ainum, sekumpulan besar tentera dikerahkan untuk melindungi pendatang Yahudi yang membaling batu. Sebuah kenderaan peronda tentera Zionis memecah masuk rumah keluarga Kalzar al-Aweiwi, remaja perempuan Palestin yang mereka bunuh, dan memaksa semua ahli keluarga keluar.
Di Jabal al-Rahma, tentera Zionis menyerang masuk rumah Major Jeneral Khaled al-Madhoun dan menangkap beliau.
Kegilaan tentera Zionis memuncak dengan penangkapan dua pemuda dari bandar Beit Fajjar di Beit Lahm, bersama jurnalis Amjad Arafa dari al-Quds.
Sekatan tentera dibina di seluruh al-Khalil untuk menyekat pergerakan keluar-masuk penduduk.