Tentera Zionis letupkan rumah keluarga Abu Hmeid

RAMALLAH, 16 Dis 2018 — Tentera penjajah Zionis pagi semalam meletupkan rumah keluarga Abu Hmeid di kem pelarian Amaari di al-Bireh, selatan Ramallah, setelah menggempur kem tersebut selama enam jam.

Sekurang-kurangnya 56 penduduk, termasuk seorang jurnalis dari TV al-Jazeera, tercedera dalam pertempuran untuk menghalang tentera Zionis yang mula mengepung rumah tersebut merobohkannya. Seramai 10 orang terpaksa dikejarkan ke hospital, di mana enam orang ditembak dengan peluru hidup.

Sekitar 500 anggota tentera Zionis, lengkap dengan jentolak, mula menyerbu kota Ramallah selepas tengah malam, mengepung rumah empat tingkat milik keluarga Abu Hmeid. Semua ahli keluarga dan aktivis Palestin yang berada di dalamnya dipaksa keluar, dengan melepaskan gas pemedih mata serta menyembur serbuk lada pemedih dan memukul mereka.

Sementara sebilangan anggota tentera menaiki bumbung rumah-rumah jiran untuk berkawal.

Sebelum memasang bahan letupan dalam rumah Abu Hmeid, sekitar 500 ahli keluarga jiran berdekatan dipaksa keluar dan dikumpulkan di sebuah padang bola dalam keadaan cuaca sejuk. Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) membantu mangsa-mangsa dengan membekalkan selimut, makanan dan air, di samping memindahkan sekitar 100 orang wanita dan kanak-kanak ke sebuah bangunan PRCS yang berdekatan.

Ketika kejadian, penghuni rumah tersebut Um Naser Abu Hmeid, 72, enggan keluar dari rumahnya sehinggalah semua ahli keluarga jiran serta aktivis keluar dan dipastikan selamat. Beliau berikrar untuk membina semula rumahnya, yang sebelum ini pernah diroboh sebanyak dua kali pada tahun 1994 dan 2003.

Tentera Zionis meroboh rumah Abu Hmeid sebagai hukuman kolektif selepas menuduh anak lelaki mereka, Islam, membunuh seorang anggota askar dengan menghempap konkrit batu ke atasnya pada bulan Mei 2018.

Enam daripada ahli keluarga Abu Hmeid, termasuk Islam, sedang merengkok dalam penjara Zionis. Empat daripadanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Almarhum suaminya juga seorang bekas tahanan, sementara seorang anak lelaki beliau telah dibunuh oleh tentera Zionis.

(PIC, Maan, IMEMC, PNN, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts