Tentera Zionis paksa remaja Palestin hina Rasulullah SAW

BEIT LAHM, 13 Jun 2017 (Maan) — Tentera penjajah Zionis mendera dan menghina remaja Palestin Baraa Kanan, 19, serta memaksa beliau menghina Rasulullah SAW selepas ditangkap ketika menyertai perhimpunan aman di perkampungan Nabi Saleh di Ramallah bulan lalu.

Laporan yang diterbitkan oleh pertubuhan hak asasi B’Tselem menyebut remaja yang berasal dari perkampungan Beit Rima itu ditangkap dalam kejadian di mana rakannya Saba Abu Ubeid, 22, ditembak mati dan dua yang lain cedera.

Baraa sedang menaiki sebuah ambulan bersama seorang saudaranya yang cedera di bahagian kepala sebelum disekat oleh sekurang-kurangnya 10 orang askar Zionis. Menurut B’Tselem, tentera Zionis menahan Baraa dengan mengikat kedua tangan beliau dan mengheretnya ke sebuah lokasi sekitar 100 meter dari sebuah menara tentera, sebelum ditutup mata dan dibawa lari menaiki sebuah jip.

Kira-kira 10 minit kemudian, Baraa dipindahkan ke sebuah bilik yang tidak diketahui lokasinya, di mana beliau dipukul dan dihina selama lebih tujuh jam dalam keadaan ditutup mata. Beliau dipukul di bahagian muka dan dada serta diludah. Baraa juga dipaksa duduk di atas sebuah kerusi tanpa tempat menyandar dan tidak dibenarkan menunduk kepala. Setiap kali beliau tertunduk apabila kepenatan, askar Zionis akan berteriak dan menendang kerusi.

Apabila beliau meminta air minum, seorang askar Zionis akan menuang air di mulutnya sehingga beliau tersedak. Manakala apabila beliau meminta izin untuk ke bilik air, sekumpulan tentera membawa beliau keluar bilik, kemudian seorang askar menolak dan memaksa beliau kencing di atas pakaiannya.

Baraa kemudian dipindahkan ke sebuah kemah dan dipaksa duduk di atas tanah. Tentera membuka tutup mata beliau dan memaksa beliau berkata “Muhammad babi”, “Muhammad anjing”, sebelum menggunting sebahagian rambutnya.

Beliau kemudian ditinggalkan di satu kawasan yang tidak beliau kenali.

Selepas akhirnya berjaya pulang ke Nabi Saleh, Baraa dirawat di sebuah hospital di Salfit akibat kecederaan di bahagian atas badan, kepala, belakang, kaki kiri dan peha.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts