Tentera Zionis roboh 4 rumah di Beit Lahm, 16 penduduk cedera

BEIT LAHM, 3 Sep 2018 — Seramai 16 penduduk Palestin cedera ketika cuba menghalang tentera penjajah Zionis meroboh empat buah rumah di perkampungan al-Walaja di barat kota Beit Lahm awal pagi tadi.

Tentera penjajah Zionis mendakwa rumah-rumah terbabit dibina tanpa kebenaran daripada pihak rejim.

Mereka mengepung kawasan perkampungan, menghalang penduduk keluar atau masuk, sebelum mula meroboh rumah milik keluarga Khaled Mahmoud Abu Khiara di kawasan Ein Jweiza, yang menjadi tempat kediaman 11 ahli keluarganya.

Tidak lama kemudian, tentera Zionis meroboh rumah-rumah milik keluarga Ahmad Abu at-Teen dan Ala’Hussein Hajajla di kawasan Khallet as-Samak.

Penduduk berkumpul dan membantah tindakan tentera Zionis dengan berada di dalam dan di atas bumbung rumah-rumah terbabit, sebelum diserang dengan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.

Petugas Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan seramai 16 penduduk cedera, termasuk enam orang yang terkena tembakan peluru getah.

Tentera Zionis turut meroboh sebuah bangsal pertanian di Khallet as-Samak dan merampas sebuah karavan milik keluarga Shqeirat.

(Maan, IMEMC, PNN)

Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts