Tentera Zionis Sita Rumah Warga Emas

AL-KHALIL, 19 Jan 2015 (Ma’an | ISM) — Tentera Zionis menghalau dua wanita warga emas keluar dari rumah mereka di Syuhada Street dan menyita rumah tersebut semalam.

Seorang penduduk, Mufid al-Sharabati, berkata tentera Zionis menceroboh masuk rumah milik Zuheira Oweida Dandis, 80 tahun, dan Amal Dandis, 52 tahun, dan memaksa mereka meninggalkan rumah tersebut sebelum menyitanya.

Tentera Zionis mendakwa mereka menyita kediaman tersebut atas sebab keselamatan, tanpa memberi sebarang maklumat lanjut.

Laporan International Solidarity Movement (ISM) menyebut Amal Dandis telah ditolak oleh tentera apabila beliau cuba memprotes tindakan mereka menyita pintu rumahnya menggunakan pengimpal besi. Beliau dilaporkan jatuh sakit dan dibawa ke hospital menggunakan sebuah ambulan. Amal beberapa kali mendesak supaya beliau ditemani oleh aktivis kemanusiaan yang berada di tempat kejadian, namun tidak diendahkan oleh tentera Zionis.

Syuhada Street di kawal oleh tentera sejak berlakunya peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas jemaah solat Subuh di Masjid Ibrahimi pada tahun 1994. Dalam kejadian pada bulan Ramadhan itu, pendatang Yahudi Baruch Goldstein telah membunuh seramai 29 orang Islam dan mencederakan puluhan yang lain.

Tentera Zionis menutup jalan tersebut sepanjang berlangsungnya Intifadah Kedua. Mereka juga membina sekatan tentera bagi mengawal perjalanan penduduk Palestin di situ.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts