Tentera Zionis tahan 30 remaja sepanjang Ogos, kebanyakannya didera

RAMALLAH, 6 Sep 2016 (MEMO) — Seramai 30 remaja Palestin ditahan dalam penjara Zionis sepanjang bulan Ogos lalu, dan denda sejumlah 65,000 shekel (RM 68,820) telah dikenakan ke atas keluarga mereka.

Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan Palestin semalam mendedahkan bahawa majoriti remaja terbabit dipukul dan didera ketika dalam tahanan, serta diinterogasi dan dipindahkan dari satu pusat tahanan ke pusat tahanan lain.

Seramai 17 orang daripada mereka ditangkap oleh tentera yang memecah masuk rumah mereka. Manakala lima lagi ditangkap di jalanan, empat di sekatan tentera, dan empat yang lain hadir secara sukarela di pusat tahanan setelah menerima arahan tentera.

Tiga daripada remaja tersebut dikenakan tahanan pentadbiran tanpa sebarang pengadilan.

Remaja Mousa Khanafsa, 14, ditangkap di sebuah lorong berdekatan rumahnya di Abu Dis di daerah al-Quds. Sekumpulan pegawai polis preman mengejar beliau, dan memukul beliau dengan senjata serta memijak-mijak badannya dan dibiarkan berdarah sebelum ditangkap.

Menurut pertubuhan hak asasi Addameer pada bulan Julai lalu, seramai 250 daripada 7,000 penduduk Palestin yang merengkok dalam penajra Zionis adalah remaja atau kanak-kanak.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts