Tentera Zionis Tangkap 5 Penduduk Palestin, Rampas Wang & Kenderaan di Tebing Barat

RAMALLAH, 27 Dis 2017 — Tentera penjajah Zionis menangkap lima penduduk Palestin dan merampas sejumlah besar wang tunai dalam beberapa serbuan di wilayah Tebing Barat.

Dalam kejadian di wilayah Salfit, tentera Zionis mendakwa telah menjumpai sepucuk senjata buatan sendiri dalam sebuah rumah di bandar Biddya.

Manakala di wilayah al-Khalil, tentera merampas wang tunai bernilai puluhan ribu shekel selepas memecah masuk dan menggeledah rumah penduduk Palestin di kota al-Khalil, atas dakwaan wang tersebut digunakan untuk mendanai operasi menentang penjajahan. Mereka turut memecah masuk 12 rumah penduduk di kem pelarian al-Arroub di utara al-Khalil, menyoal siasat keluarga Palestin, merampas lima buah kenderaan serta menyebar notis memberi amaran supaya tidak terlibat dalam aktiviti anti-penjajahan.

Tentera turut memecah masuk rumah bekas tahanan Nouh Qafisha di bandar Halhul, menggeledah rumah dan merosakkan harta beliau serta merampas sejumlah wang.

Sementara itu seorang pemuda ditangkap dan motorsikal beliau dirampas di sekatan tentera Salem berdekatan Jenin. Tentera turut menyerbu perkampungan Deir Abu Da’if di Jenin, menyoal siasat sekumpulan penduduk dan merampas sebuah lagi motorsikal milik penduduk.

Rumah-rumah penduduk di bandar Jayyous di wilaya Qalqilya turut dipecah masuk.

Di barat Ramallah, tentera menyerbu perkampungan Ni’lin dan menangkap dua penduduk termasuk seorang bekas tahanan.

Kenderaan peronda tentera Zionis turut menyerbu masuk perkampungan al-Janiya di barat Ramallah dan melepaskan tembakan bom bunyi serta gas pemedih mata ke arah rumah penduduk, mencetus pertempuran dengan para pemuda.

(PIC, Maan)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts