Tentera Zionis tembak mati pemuda Palestin di Nabi Saleh

RAMALLAH, 6 Jun 2018 — Tentera penjajah Zionis menembak dan membunuh pemuda Ezzeddin Abd El-Hafeezh Tamimi, 21, di perkampungan Nabi Saleh di barat laut Ramallah pagi tadi.

Mangsa ditembak dengan tiga peluru hidup dari arah belakang, salah satu daripadanya mengenai kepala beliau. Beliau dikatakan telah diburu oleh tentera Zionis sejak 18 bulan lalu, tetapi berjaya lolos dalam beberapa cubaan ditangkap.

Beliau juga telah beberapa kali ditembak, dan tentera Zionis menculik adiknya bagi mendesak beliau menyerah diri.

Ezzeddin dibiarkan berdarah tanpa sebarang bantuan selama lebih setengah jam, dan tentera Zionis mengugut untuk menembak sesiapa yang cuba merawat atau membawa beliau ke hospital.

Menurut keluarga al-Tamimi, tentera Zionis secara sengaja menembak anak mereka dari jarak kurang dua meter. Pihak perisikan Zionis telah beberapa kali mengugut untuk membunuh anak mereka sebelum ini.

Jenazah Ezzeddin telah diserahkan kepada Badan Perhubungan Palestin sebelum dibawa ke Kompleks Perubatan Palestin di Ramallah untuk persiapan pengkebumian.

Selepas pembunuhan tersebut, tentera Zionis memecah masuk rumah keluarga al-Tamimi dan beberapa penduduk lain, serta menduduki bumbung-bumbung rumah.

(PIC, Maan, IMEMC, MEE, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts