Tentera Zionis tembak mati siswa Palestin di Qalqilya

QALQILYA, 15 Jan 2018 — Pemuda Palestin Ahmad Abdul-Jaber Salim, 24, meninggal dunia selepas cedera parah ditembak oleh tentera Zionis dalam pertempuran di bandar Jayyous di timur wilayah Qalqilya malam tadi.

Ahmad ditembak di bahagian kepada dan dikejarkan ke Hospital Darwish Nazzal dalam keadaan kritikal. Tentera turut melepaskan tembakan bom gas pemedih mata ke arah ambulan-ambulan dan pasukan perubatan.

Ahmad pernah merengkok dalam penjara Zionis selama tiga tahun, sebelum dibebaskan pada tahun 2016. Beliau adalah seorang siswa di Universiti Terbuka al-Quds.

Tiga lagi pemuda Palestin ditangkap dalam pertempuran tersebut.

Dalam pada itu, pasukan polis yang diiring oleh tentera Zionis menyerbu kem pelarian Shufat di Baitulmaqdis dan melepaskan tembakan grenad pelali dan gas pemedih mata, sehingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk. Seorang kanak-kanak ditagkap dalam insiden tersebut.

Terdahulu pada waktu tengahari, dua pemuda ditangkap di Jalan al-Wad di kota Baitulmaqdis dan diheret ke sebuah pusat interogasi Zionis.

(IMEMC, WAFA, PIC)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts