Terima Kasih Dari Jabaliya

ABALIYA, 29 April 2012 — Sumbangan yang diberikan tidaklah seberapa, sedangkan keperluan untuk menyara 12 orang ahli keluarga di sebuah petak rumah kecil itu sangat mendesak. Kehidupan keluarga ini bergantung kepada usaha gigih si ayah mengambil upah menjual sayuran menggunakan kederat seekor keldai yang turut menumpang teduh di rumah mereka.

Mereka tidak pernah meminta-minta, kecuali kepada Allah SWT Yang Maha Kaya. Justeru, sedikit bantuan rakyat Malaysia yang disampaikan oleh relawan HALUAN dalam Misi Amanah HALUAN ke Gaza baru-baru ini begitu dirasai oleh mereka sehinggakan tidak henti-henti mengucap terima kasih.

Apakan tidak, setelah empat hari kami tiba di Malaysia, rakan NGO di Gaza masih lagi menghantar emel bagi menyampaikan ucap salam dan terima kasih dari keluarga tersebut kepada penderma yang budiman.

Mereka merupakan sebahagian daripada keluarga anak-anak yatim, miskin dan keluarga lumpuh di Jabaliya yang mendapat perhatian NGO luar. Alhamdulillah, anak-anak mereka diberikan Allah peluang mendapat pendidikan awal di tadika TK Bintang Al-Quran, sebuah usaha murni rakyat Indonesia melalui NGO Sahabat Al-Aqsho. Di sini, anak-anak mendapat bantuan 100%, termasuklah pembelian sepasang pakaian dan alatan sekolah, pengangkutan dan juga makanan mengalas perut ketika sesi persekolahan.

Selain daripada menghulurkan bantuan wang tunai, HALUAN juga membantu keluarga-keluarga miskin di sini melalui projek membekalkan baka arnab sebagai pemangkin kepada mereka untuk berdikari. Apabila baka tersebut berjaya melahirkan anak, keluarga-keluarga ini dapat menjualnya untuk menyara hidup di samping membiak lebih banyak lagi arnab.

Namun tidak semua mereka mendapat peluang ini, kerana dana yang terbatas. Masih terlalu ramai anak-anak dan keluarga miskin di Jabaliya yang tidak mendapat peluang seperti itu. Berbekalkan apa sahaja peluang yang ada di sekeliling, mereka tetap gigih berikhtiar meneruskan kehidupan dan hanya mengharap bantuan Allah di bumi yang penuh barakah itu.

Yang pasti, kami dapati mereka ini tidak pernah berhenti bertasbih dan bertahmid. Itulah sebuah pengalaman bermakna bagi kami ketika menziarahi beberapa keluarga saudara seakidah di Jabaliya.

InsyaAllah HALUAN akan terus membantu mereka berhadapan dengan keperitan akibat embargo Zionis Yahudi ini. Sekiranya anda terpanggil untuk turut bersama HALUAN dalam misi yang mulia ini, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun berikut:

Tabung Palestin HALUAN
BIMB: 14-023-01-003429-2
Maybank: 5644 9020 8528

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts