Tiada Kanak-Kanak Gaza Terkecuali Dari Kesan Serangan

07-24-ocha-gazaGENEVA, 30 Sept 2014 (UN News Centre) — Tidak seorang pun kanak-kanak Gaza yang tidak terkesan oleh serangan tentera Zionis baru-baru ini. Laporan PBB mendedahkan bahawa anak-anak Gaza secara umumnya mengalami simptom trauma seperti kencing malam, sukar untuk tidur, mengigau, hilang selera makan dan bersikap agresif ketika di sekolah.

Di akhir misi siasatan pertama beliau selepas serangan besar-besaran tentera Zionis ke atas penduduk Gaza, Makarim Wibisono yang merupakan pelapor khas PBB tentang keadaan hak asasi manusia di Gaza menyuarakan kebimbangan tentang akibat buruk yang dialami oleh penduduk Palestin terutama sekali dari kalangan kanak-kanak.

Menurut kenyataan akhbar beliau tentang hasil kajian tersebut, seramai 1,479 orang penduduk Gaza termasuk 506 kanak-kanak telah dibunuh oleh tentera Zionis. Manakala seramai 11,231 orang lagi termasuk 3,436 kanak-kanak tercedera. Ramai yang terpaksa menanggung kecacatan kekal.

Puluhan ribu kanak-kanak berada dalam keadaan trauma akibat pengalaman ngeri melihat pembunuhan kejam ke atas ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran di hadapan mata mereka sendiri.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius tentang berlakunya pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi,” kata Wibisono.

“Dakwaan rejim Zionis bahawa mereka mempertahankan diri daripada masyarakat yang dijajah di bawah sekatan yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa adalah suatu yang tidak boleh dipertahankan,” hujah beliau. “Dengan lebih 1.8juta penduduk berumur di bawah 18 tahun, keadaan ini benar-benar merupakan satu tragedi yang akan diwarisi hingga ke generasi akan datang.”

Tidak seorang pun daripada anak-anak Gaza terkecuali daripada kesan serangan ini, kata beliau. “Kanak-kanak mengalami masalah kencing malam, sukar untuk tidur, mengigau, hilang selera makan, dan sikap yang agresif ketika di sekolah,” terang Wibisono.

Sepanjang lawatan beliau ke wilayah timur tengah itu, Wibisono antaranya telah menemui pegawai-pegawai Palestin, wakil pertubuhan awam, aktivis hak asasi dan juga mangsa serangan yang berada di Amman dan Kaherah. Beliau hanya dapat berkomunikasi dengan mereka yang berada di Gaza melalui video dan telekonkerensi kerana tidak dibenarkan masuk oleh rejim Zionis.

Di Amman, beliau telah menziarahi pesakit Gaza yang mendapatkan rawatan di hospital King Hussein. Di antara pesakit tersebut adalah Manar, seorang kanak-kanak perempuan berumur 14 tahun dari Beit Hanoun. Beliau kehilangan kedua-dua belah kakinya serta mengalami kecederaan akibat serpihan bom dan kecederaan dalaman dalam insiden serangan ke atas sebuah sekolah PBB. Manar juga kehilangan ibu serta tiga lagi saudaranya dalam serangan tersebut.

Kenyataan Wibisono juga menyebut bahawa penduduk Palestin secara sebulat suara mendesak tiga tuntutan asasi iaitu pengadilan terhadap pihak yang bertanggung jawab dalam serangan, menghentikan sekatan di Gaza dan menghentikan penjajahan ke atas wilayah Palestin.

Wibisono turut melaporkan bahawa sekitar 7,000 bom yang tidak meletup masih bertaburan di seluruh wilayah Gaza. Keadaan ini merupakan ancaman bahaya kepada penduduk terutama sekali kanak-kanak.

Makarim-Wibisono
Makarim Wibisono, bekas Duta Besar Indonesia ke PBB, kini mengetuai Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

“Sepanjang 50 hari serangan dan pengeboman tanpa henti itu, 228 buah sekolah di Gaza telah rosak, termasuk 26 buah yang musnah sama sekali atau tidak boleh dibaik pulih semula. 87 buah sekolah terpaksa beroperasi secara dua sesi dalam sehari,” kata beliau dalam kenyataan akhbar tersebut.

Dianggarkan seramai 60,000 penduduk masih menumpang tinggal di 19 buah sekolah di seluruh Gaza. Mereka juga mengalami kekurangan bekalan ubat-ubatan serta perkakas rawatan. Para doktor juga kecewa dengan bekalan elektrik yang sangat terhad, di mana generator mudah-alih yang mereka digunakan di hospital terpaksa beroperasi melebihi kapasiti.

Pelapor khas PBB itu juga membuat penegasan tentang pencabulan hak asasi yang semakin meningkat di Tebing Barat termasuk Al-Quds Timur. Tentera Zionis menggunakan kekerasan yang melampau ketika berhadapan dengan demonstrasi atau bertempur dengan penduduk Palestin.

Pakar bebas, atau pelapor khas, dilantik oleh Majlis Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Geneva bagi menyiasat dan melaporkan keadaan di sesebuah negara atau sesuatu tema hak asasi manusia. Perlantikan tersebut merupakan suatu penghargaan dan mereka dipilih dari kalangan bukan pekerja PBB. Mereka juga tidak mendapat sebarang bayaran ke atas tugasan yang dibuat.

Wibisono akan membentangkan secara menyeluruh hasil siasatan dan saranan beliau dalam sesi ke-18 Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada bulan Mac 2015.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts