Timbalan Speaker Parlimen Zionis seru supaya Damaskus dijajah

AL-QUDS, 4 Jan 2016 (MEMO) — Timbalan Speaker Parlimen Zionis, Bezalel Smotrich, menyeru supaya kota Damaskus dijajah bagi melaksanakan ajaran kitab Taurat.

Dalam satu rancangan di TV Channel 2, Smotrich berkata bahawa sempadan negara haram Yahudi itu adalah sebenarnya melangkaui sempadan yang ada pada hari ini dan sempadan al-Quds sampai ke Damaskus, berdasarkan ajaran Taurat.

Smotrich yang merupakan seorang pemimpin parti pelampau Jewish Home, mencadangkan rejim Zionis menerima sempadan sementara yang ada pada hari ini, yang meliputi Bukit Golan dan Tebing Barat. Beliau menekankan bahawa rejim penjajah Zionis harus berusaha untuk mencapai apa yang telah ditetapkan dalam Taurat.

Beliau juga mengulangi penegasan bahawa pendatang Yahudi yang membakar rumah keluarga Dawabsheh bukanlah pengganas. Menurut beliau, sesuatu tindakan itu hanya dianggap sebagai jenayah apabila dilakukan oleh “musuh orang Yahudi berbangsa Arab.”

Smotrich juga menyeru kepada pemimpin pendatang Yahudi supaya mengawal semua wilayah di Tebing Barat, dengan menganggap wilayah itu sebagai tanah Yahudi.

Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa sesiapa yang tidak menerima kedaulatan negara haram Zionis ke atas wilayah Tebing Barat “mesti dihalau keluar dari kawasan tersebut,” dengan menyebut bahawa terdapat 20 buah negara Arab yang boleh menjadi destinasi mereka.

Beliau tidak ketinggalan menegaskan kepentingan membina sebuah kuil Yahudi di atas Masjid al-Aqsa.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts