Warga Kapar Energy Ventures Serah Bantuan Untuk Palestin

KAPAR, SELANGOR, 4 Jan 2012 — Seluruh lapisan masyarakat Malaysia dari kanak-kanak sekolah sehinggalah pegawai eksekutif terus prihatin terhadap permasalahan Palestin dan penderitaan rakyatnya. Kakitangan sebuah syarikat loji janakuasa kitar padu terbesar di negara ini, Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) telah turut melancarkan kutipan kilat bagi mengumpul dana bantuan untuk meringankan kesengsaraan rakyat Palestin akibat serangan tentera rejim Zionis Yahudi.

Kesungguhan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hj Sohaimi Subahir dalam memberi kesedaran kepada warga KEV tentang tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin telah berjaya menggerakkan kempen kutipan kilat tersebut secara berkesan. Kempen ini bukan saja disasarkan kepada seluruh kakitangan bahkan juga pelawat yang ramai berkunjung ke stesen janaelektrik di tepi pantai Selat Melaka itu.

Satu majlis penyerahan dana bantuan melalui HALUAN Malaysia telah diadakan di Dewan Serbaguna KEV di sini. Dalam ucapan beliau, Sohaimi telah menyeru kakitangannya supaya terus berusaha menunaikan tanggungjawab mereka membantu rakyat Palestin walaupun berbagai kempen telah dianjurkan setiap kali berlakunya serangan tentera Zionis khususnya ke atas rakyat Gaza. “Mungkin kita seolah-olah kepenatan kerana terpaksa membantu setiap kali mereka diserang, dan serangan mungkin akan berlaku lagi dan lagi. Tetapi kita harus insaf bahawa kita membantu mereka atas dasar kewajipan. Justeru, kita harus terus membantu sehinggalah Palestin bebas daripada kezaliman Zionis, atau sehingga akhir hayat kita,” kata beliau.

Beliau turut menghargai usaha HALUAN Malaysia untuk mewakili KEV bagi menyampaikan bantuan yang berjaya mereka kutip kepada rakyat Palestin.

Sohaimi telah menyerahkan cek kutipan bernilai RM5,700 kepada Timbalan Biro HALUAN Palestin, Mohd Nizam Awang, yang turut hadir memberi taklimat ringkas tentang perkembangan di Palestin dan projek-projek bantuan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin yang dilaksanakan melalui HALUAN Malaysia.

HALUAN Malaysia mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih di atas usaha mulia warga KEV ini. Semoga setiap usaha dan kesungguhan mereka ini mendapat balasan berganda dari Allah SWT dan diberkati urusan mereka seharian.

Orang ramai boleh terus menyumbang untuk menjayakan projek-projek bantuan Palestin melalui “Tabung Palestin HALUAN” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644 – 9020 – 8528.

Bersatu Untuk Palestin!

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts