Terdapat beberapa peristiwa sepanjang bebasnya Yahya Sinwar dari penjara Israel sejak 2011 menggambarkan watak beliau yang sangat unik dan berbeza dengan penampilannya yang sering diulas.
Yahya dibebaskan selepas 5 tahun rundingan Israel-Ha mas 2006-2011 untuk membebaskan Koperal Gilad Shalit yang ditawan Hamas dalam perang 2006.
Pembebasan beliau pada bulan November 2011 bersamaan dengan bebasnya Mesir daripada rejim Hosni Mubarak 10 bulan sebelumnya. Seterusnya naiknya pemimpin Ikhwan Dr Mohamad Morsi sebagai Presiden Mesir Jun 2012 Jun 2013. Perubahan di Mesir memberi kesan besar kepada Gaza yang terkepung sejak 2005.
Sepanjang 2012, dicatatkan 420 ribu orang penduduk Gaza berjaya melepasi sempadan Rafah-Mesir bagi mendapatkan bekalan makanan, urusan kesihatan, pendidikan dan perniagaan. Gaza yang musnah dalam perang 2006, perang 2008/09 dan perang 2012 mendapat nafas baru dan ekonominya kembali memasuki era pemulihan.
Namun selepas Morsi digulingkan Jun 2013, Gaza kembali terkepung. Pentadbiran Jeneral As Sisi telah mengetatkan pintu sempadan Mesir-Rafah, mengarahkan pemusnahan terowong-terowong di sempadan Ga za yang kebanyakannya digunakan penyeludup-penyeludup untuk membawa bekalan bahan keperluan khususnya makanan dan petrol ketika era mereka dikepung.
Lebih parah lagi, majoriti petempatan penduduk Mesir di sempadan Rafah/Ga za tersebut dipindahkan ke lokasi lebih jauh agar tidak ada laluan masuk dari terowong Gaza boleh sampai ke perkampungan penduduk Mesir yang sering membantu jiran mereka di Gaza. Hamas yang mentadbir Gaza sepenuhnya sejak 2007 tertekan dalam usaha mereka menguruskan kebajikan rakyat.
Hamas pula berhadapan situasi sukar kerana sering dianggap cawangan Ikhwan di Pales tin iaitu gerakan yang dianggap ancaman utama kepada Mubarak dan As Sisi di Mesir. Jumlah penduduk Gaza yang dibenarkan keluar masuk ke Mesir hanyalah seramai 7000 orang setahun berbanding 420 ribu di era Morsi. Namun dalam suasana getir dan terkepung inilah munculnya Sinwar yang memainkan peranan penting.
Yahya Sinwar mengetuai delegasi Hamas ke Mesir untuk berunding dengan pihak keselamatan Mesir khususnya badan perisik, pihak tentera dan Polis Mesir. Ternyata watak dan perwatakan Sinwar disenangi oleh sebahagian besar pihak pemerintah Mesir.
Sinwar sangat mahir dan menguasai seni ‘perundingan’ (the art of negotiations) sehingga menyebabkan Mesir menerima banyak permintaan beliau termasuk kelonggaran terhadap pintu sempadan Mesir-Rafah dan membuka pintu rundingan seterusnya dengan pihak Fatah dan Israel.
Peristiwa kedua ialah hubungan beliau dengan Mohamad Dahlan. Dahlan adalah tokoh penting Fatah yang sangat memusuhi Hamas. Apabila Hamas memenangi pilihanraya 2006, Dahlan sering berusaha melakukan sabotaj khususnya dalam sektor keselamatan bagi menggagalkan kerajaan pimpinan Haniyeh.
Pernah satu ketika, pasukan keselamatan diketuai Dahlan telah menyekat kemasukan Haniyeh yang baru pulang dari menunaikan haji. Haniyeh yang membawa bersama sumbangan negara-negara Arab setelah dikenakan sekatan kewangan oleh Barat di arah menyerahkan wang tersebut kepada pihak keselamatan yang diketuai Dahlan di pintu sempadan Mesir-Rafah.
Gagal menyerahkan wang tersebut, berlaku pertempuran di antara pasukan keselamatan Dahlan dengan pengawal Haniyeh sehingga menyebabkan seorang bodyguard Haniyeh terbunuh dan 27 yang lain cedera. Tragedi ini diselesaikan setelah Mesir berunding dengan memasukkan wang tersebut ke akaun bank Mesir.
Apabila Saudi berjaya mendamaikan Fatah dan Hamas melalui Deklarasi Mekah Februari 2007, maka kedua dua pihak membentuk Kerajaan Perpaduan (NUG) dengan Abbas kekal sebagai Presiden dan Haniyeh sebagai PM. Dahlan menentang NUG ini, dan dengan bantuan negara Barat beliau telah melatih ribuan anak muda dengan latihan ketenteraan di negara-negara di sempadan Palestin.
Mei 2007, sekumpulan 450 tentera Dahlan menyeberang masuk ke Gaza dari Mesir dan sekumpulan lagi dari Jordan untuk melakukan rampasan kuasa terhadap kerajaan Perpaduan Hamas-Fatah di Gaza. Pertempuran selama 2 minggu di antara tentera Dahlan dengan Hamas ini berakhir dengan Ha mas berjaya menguasai sepenuhnya Gaza dan Dahlan melarikan diri.
Selepas peristiwa ini Dahlan bersara daripada politik selepas berkonflik dengan Abbas yang menganggap Dahlan sebagai pesaingnya. Dahlan ke Dubai untuk fokus kepada perniagaan dan beliau berjaya menjadi kaya raya selepas 10 tahun. Cerita Dahlan habis di situ.
Apabila Yahya Sinwar dilantik menggantikan Haniyeh sebagai Ketua Ha mas di Ga za pada Februari 2017, beliau yang kerap berulang-alik dalam pelbagai rundingan ke Kaherah, Mesir telah menghubungi Dahlan. Bertemulah dua orang watak berbeza perwatakan dari dua kem berbeza ini di Mesir.
Sinwar berkongsi situasi terkini di Gaza yang sangat daif dengan ramainya penduduk tidak mendapat bekalan makanan mencukupi. Beliau mengajak Dahlan bergabung dengannya untuk membantu kebajikan rakyat Gaza. Tambahan kata Sinwar, Dahlan memiliki kekayaan yang sangat besar yang perlu dikongsi dengan saudara saudara mereka di Gaza.
Dahlan yang lama menghilang dalam politik Palestin dan tajam hubungannya dengan Hamas, bersetuju dengan permintaan Sinwar. Melalui Yayasan ditubuhkan isterinya, Dahlan menghantar sejumlah wang dan bantuan keperluan ke Gaza setelah di selaras dengan Sinwar selama beberapa tahun.
Kedua-duanya saling berhubung sepanjang 2017-2021 sehingga menimbulkan syak kepada Mahmoud Abbas dan Fatah. Sebahagian mereka mendakwa bahawa Sinwar telah membuat pakatan politik dengan Dahlan untuk menggugat Fatah kerana ramai juga ahli Fatah adalah pengikut Dahlan.
Dakwaan ini menjadi semakin jelas apabila pada 2021, Dahlan mengumumkan penubuhan blok baru politik dinamakan ‘Democratic Reform’ yang didakwa Fatah sebagai usaha bersama Dahlan dan Sinwar untuk mencabar penguasaan Fatah di Tebing Barat. Namun Abbas membatalkan pilihanraya yang sepatutnya diadakan pada tahun 2021.
Kesimpulannya, Yahya Sinwar bukan semata-mata membawa watak pahlawan, tegas, jihadis, persis Umar Al Khattab dan lain-lain semata-mata, beliau juga adalah watak yang mahir dalam negotiations skill, pragmatis, terbuka dan berjiwa besar.
Apabila beliau menggantikan Haniyeh, maka boleh jadi kebimbangan Israel dan lawan Hamas ialah keupayaan luar biasa Sinwar dalam menjayakan sebarang ‘perundingan’ dan kehebatan beliau menjinakkan bekas-bekas musuhnya seperti Dahlan.
Malah, tempoh lama di dalam tahanan selama 23 tahun menjadikan Sinwar watak penyatu yang diterima oleh tokoh-tokoh Fatah yang pernah dan masih di penjara seperti Marwan Barghouthi dan tokoh PFLP (Sosialis Palestin) Ahmad Saa’dat yang juga lama di penjara Israel. Ia berpadanan untuk menyambung legasi Haniyeh yang menjayakan Deklarasi Beijing yang menggabungkan kesemua 14 parti politik di Palestin.
Apapun terjadi, gerakan pembebasan dan kemerdekaan Palestin tidak mati dengan terbunuhnya kepimpinan mereka. Kematian akan menghidupkan. Kezaliman Israel dan kuncu-kuncunya wajib dalam janji Tuhan akan berakhir.
Penulis merupakan pemilik buku Hari Hari Israel di Bumi Palestin.