Yahudi Rancang Ceroboh Al-Aqsa

aqsa-01BAITULMUQADDIS, 1 Okt 2012 — Yayasan Waqf dan Warisan al-Aqsa memberi amaran kesan buruk akibat tindakan sebuah pertubuhan Yahudi yang menyeru serangan dan pencerobohan ke atas masjid Al-Aqsa yang mulia. Pertubuhan yang didalangi oleh parti Likud itu membuat seruan tersebut sempena hari kebesaran Sukkot yang disambut oleh pengikut Yahudi selama tujuh hari.

Menurut satu pengumuman yang dikeluarkan oleh pertubuhan tersebut, pencerobohan akan bermula pada jam 7:30 pagi Selasa. Perancangan itu dipimpin oleh Moshe Feiglin, pemimpin sebuah fraksi pelampau dalam parti Likud.

Yayasan Waqf dan Warisan al-Aqsa tetap dengan ketegasan bahawa al-Aqsa adalah milik umat Islam sahaja. Dalam kenyataannya, pihak yayasan menjangkakan pihak polis Zionis akan membenarkan Feiglin memasuki Masjid Al-Aqsa sebagai meraikan kejayaan beliau dalam pilihan raya parti Likud dan mengelakkan reaksi pihak pembangkang. Sebelum ini, beliau telah dihalang daripada memasuki kawasan masjid yang mulia itu.

Kenyataan media Yayasan Waqf dan Warisan al-Aqsa yang dikeluarkan pada hari ini menyebut bahawa Masjid Al-Aqsa sedang berhadapan dengan pelbagai ancaman dan bahaya dengan meningkatnya pencerobohan masuk oleh pihak Zionis Yahudi, termasuk tindakan pendatang, tentera dan juga pelancong Yahudi menjalankan upacara kegamaan mereka di dalam kawasan masjid.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak awal tahun ini seramai 4700 pendatang Yahudi, hampir 3250 askar dan sekitar 220 ribu pelancong asing yang telah memasuki al-Aqsa di bawah kawalan ketat tentera penceroboh Zionis.

Tentera penceroboh Zionis turut mengadakan sekatan ketat bagi menghalang kemasukan jemaah ke masjid. Mereka juga menghalang penduduk Islam di Baitulmuqaddis dan kawasan Jajahan 1948 daripada memasuki masjid al-Aqsa untuk tempoh masa yang berbeza. Bahkan ada yang tidak dapat berkunjung ke masjid itu selama bertahun-tahun.

Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam. Masjid tersebut juga menjadi tempat pilihan Allah SWT dalam peristiwa besar Israk dan Mikraj Rasulullah SAW. Adalah menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam untuk memerlihara masjid ini daripada kejahatan Zionis Yahudi. Bantulah umat Islam di Palestin yang saban hari mempertaruh darah dan nyawa mereka demi menjaga amanah umat Islam ini. Sekurang-kurangnya setiap orang Islam harus mendoakan supaya setiap perancangan dan aksi jahat Yahudi ini akan digagalkan oleh Allah SWT.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts