Isnin, 12 Julai — Yayasan Al Aqsa Untuk Wakaf Dan Warisan mengeluarkan kenyataan bahawa puak-puak pelampau Yahudi sedang merancang untuk menceroboh masuk ke Masjid Al Aqsa melalui pintu masuk sebelah barat dan utara. Puak-puak pelampau tersebut seterusnya akan menduduki masjid berkenaan di Babul Rahmah sambil menyebarkan dokumen menyeru rakan-rakan mereka untuk terus menyerbu masjid yang mulia ini pada setiap hari, siang dan malam.
Puak-puak pelampau Yahudi ini menyebarkan perancangan mereka melalui laman-laman web.
Yayasan Al Aqsa menegaskan, “Masjid al Aqsa adalah hak mutlak kaum Muslimin, tidak ada sebarang hak ke atas bukan Islam, tidak sebutir debu daripadanya sekalipun. Keganasan yang dilakukan oleh pelampau-pelampau Yahudi yang disokong oleh rejim Zionis hanyalah merupakan sebahagian daripada rancangn mereka menyerang Masjid al Aqsa. Kami kaum Muslimin akan tetap berjuang dan menjaga Masjid Al Aqsa”.
Menurut pengumuman dan berita yang dikeluarkan melalui laman-laman web mereka, pelampau-pelampau Yahudi ini menyeru warga Zionis agar berkumpul di halaman tembok ratapan, Buraq, pada jam 7 petang waktu tempatan. Mereka akan meneruskan pergerakan menceroboh ke kota lama Al Quds, menuju ke pintu masuk Masjid al Aqsa dari barat dan utara, sebelum berakhir di gerbang Babul Rahmah. Biasanya, mereka akan melaungkan slogan-slogan permusuhan anti-Arab dan anti-Islam, disamping menyeru kepada pembangunan Haikal Sulaiman di tempat berkenaan. (mn/PIP)