Zionis akan roboh rumah keluarga tahanan tiga beradik Al-Issawi

AL-QUDS, 12 Mei 2016 (PIC) — Pegawai pihak perbandaran Zionis di al-Quds hari ini menyerahkan notis perobohan rumah kepada keluarga al-Issawi atas alasan pembinaan tanpa kebenaran.

Ibu kepada tahanan adik-beradik Samer, Shireen dan Medhat, Um Tarek al-Issawi yang menerima notis arahan tersebut mengesahkan bahawa rumah mereka telah dibina pada tahun 1970. Beliau mendakwa arahan tersebut dibuat atas desakan pihak perisikan Zionis sebagai membalas dendam terhadap keluarganya.

Keputusan Zionis adalah bertujuan untuk “mematahkan ketabahan” tiga anak-anaknya yang sedang ditahan dalam penjara.

Anak perempuannya Shireen, seorang peguam, baru-baru ini dikenakan hukuman penjara selama empat tahun, manakala anak lelakinya Medhat dikenakan hukuman lapan tahun.

Rejim Zionis turut mengenakan semula tahanan politik ke atas Samer al-Issawi yang telah dibebaskan dalam pertukaran tahanan pada akhir tahun 2011. Samer pertama kali ditangkap pada tahun 2002 di mana beliau dikenakan hukuman penjara selama 30 tahun atas tuduhan menyimpan senjata dan terlibat dalam kumpulan pembebasan bersenjata di al-Quds.

Beberapa bulan selepas dibebaskan dalam pertukaran tahanan pada tahun 2011, beliau ditangkap semula selepas berkunjung ke Kufr Aqab, kawasan masyarakat Palestin yang terletak di luar sempadan al-Quds sebagaimana ditakrifkan oleh pihak bandaraya Zionis, tidak jauh dari tempat tinggal beliau di perkampungan Issawiyeh. Zionis mendakwa Samer melanggar syarat pembebasan dengan keluar dari kota al-Quds.

Selepas ditangkap dan dipenjara semula pada tahun 2012, Samer melancarkan mogok lapar selama 266 hari. Beliau dibebaskan pada akhir bulan Disember 2013, iaitu selepas dikenakan tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan atau pengadilan selama 17 bulan.

Beliau kemudiannya ditangkap lagi pada bulan Jun 2014 apabila sepasukan besar tentera Zionis menyerang masuk rumah keluarganya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts