Zionis arah roboh dua apartment penduduk asal di al-Quds

AL-QUDS, 14 Mac 2016 (Maan) — Pusat Maklumat Wadi Hilweh melaporkan bahawa pihak perbandaran Zionis yang diiringi oleh pasukan tentera pagi tadi memecah masuk apartmen milik Fadi al-Issawi di perkampungan al-Issawiya bagi menyerahkan arahan merobohkan rumah mereka.

Pihak Zionis mendakwa rumah tersebut dibina tanpa kebenaran. Sedangkan keluarga al-Issawi mengesahkan bahawa apartmen tiga tingkat itu dibina secara sah mengikut undang-undang pada tahun 2001.

Keluarga Issawi terpaksa membelanjakan 75,000 shekel bagi membayar denda kerana membina ruang tambahan seluas beberapa meter persegi. Mereka sejak sekian lama memohon lesen atau kebenaran membina ruang tambahan tersebut, namun tidak pernah mendapat sebarang jawapan dari pihak perbandaran rejim.

Pasukan Zionis tersebut turut memecah masuk ke dalam sebuah apartmen empat tingkat milik keluarga Muhammad Daud Mahmoud di kejiranan al-Madaris untuk menyerahkan arahan perobohan. Arahan tersebut menyasarkan dua tingkat tambahan baharu di apartment tersebut, yang merupakan satu-satunya tempat berteduh keluarga beliau.

Keluarga Mahmoud selama ini terpaksa membayar denda sebanyak 100,000 shekel bagi setiap tingkat baharu tersebut.

Rumah penduduk asal Palestin di al-Issawiya, yang sehingga kini menjadi simbol ketabahan penduduk Palestin berhadapan dengan penjajahan Zionis, sering menjadi sasaran kempen perobohan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts