Zionis Arah Roboh Masjid Di Silwan

AL-QUDS, 23 Ogos 2015 (Silwanic) — Rejim Zionis akan meroboh Masjid Al-Qa’qa’ serta sebuah rumah dan sebuah bilik penginapan di kejiranan Ein Al-Lozeh di Silwan, Al-Quds Timur. Mereka mengeluarkan arahan tersebut dengan hanya menggantungkan notis pada bangunan.

Pengurus masjid tersebut, Hani Abu Tayeh, menerangkan bahawa notis arahan meroboh bangunan masjid seluas 110 meter persegi itu dibuat atas alasan pembinaan tanpa kebenaran. Masjid tersebut beroperasi sejak tiga tahun lalu bagi kegunaan hampir 5,000 penduduk di Ein Al-Lozeh.

Menurut Hani Abu Tayeh, rejim Zionis pernah mengeluarkan notis empat bulan lalu, yang membenarkan penduduk membuat bantahan dalam tempoh 30 hari. Beliau menjelaskan, “notis ini hanya digantung pada bangunan masjid Khamis lalu, dalam usaha mereka untuk menghalang peluang kami membuat bantahan.”

Beliau menyambung, “pihak penjajah mengganggu kami dan ingin merobohkan masjid kami sungguhpun itulah satu-satunya masjid yang ada di kawasan ini. Pada masa yang sama mereka membina sinagog untuk pendatang Yahudi di atas tanah kami.”

Dalam kejadian berkaitan, pihak majlis perbandaran Zionis turut menggantung notis meroboh bangunan pada sebuah bilik tempat tinggal Eyad Abbasi di Upper Ein, Silwan. Bilik seluas 35 meter persegi itu telah wujud sejak 12 tahun lalu.

Pihak perbandaran juga menggantung notis arahan meroboh sebuah lagi rumah yang menjadi tempat tinggal enam orang Palestin.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts