Zionis Bersedia Untuk Sangkal Pertuduhan Jenayah Perang

TEL AVIV, 8 Ogos 2014 (AIC | YNet) — Tentera Zionis mengarahkan siasatan dalaman yang menyeluruh ke atas tindakan serangan mereka terhadap penduduk Gaza bagi menghadapi sebarang tindakan oleh masyarakat antarabangsa membicarakan mereka atas tuduhan jenayah perang.

Pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu, juga merayu kepada penggubal undang-undang Amerika supaya membantu rejim pengganas itu mengelakkan tuduhan jenayah perang terhadap pemimpin politik dan tentera di masa akan datang.

Dalam mesyuarat bersama ahli-ahli Kongres Amerka yang melawat Tel Aviv Rabu lalu, Netanyahu menggesa perwakilan Amerika itu membantu pegawai-pegawai Zionis yang ingin mengelakkan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

“Perdana menteri (Netanyahu) meminta kami bekerja bersama-sama bagi memastikan strategi (membawa usul jenayah perang) ke ICC tidak berjaya,” kata Steve Israel, salah seorang daripada delegasi Amerika kepada The New York Post. Netanyahu dikatakan menyeru Amerika supaya menggunakan semua kemudahan yang mereka ada untuk memastikan masyarakat antarabangsa dapat menerima hujah bahawa rejim Zionis tidak melakukan sebarang jenayah, bahkan pihak Hamaslah yang melakukan jenayah perang tersebut.

Kementerian Luar rejim Zionis juga dilaporkan akan menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak penyiasatan antarabangsa berkenaan dakwaan jenayah perang. Mereka juga merancang untuk mendakwa bahawa jawatankuasa siasatan PBB terdiri daripada negara-negara yang berat sebelah.

Sepertimana dalam peperangan terdahulu, rejim Zionis tidak memberi kerjasama terhadap Laporan Goldstone yang dikeluarkan pada tahun 2009, yang akhirnya membuatkan laporan tersebut dilupakan oleh masyarakat dunia.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts