Zionis Halang Jalan Masuk Perkampungan Esawyeh Di Al-Quds

AL-QUDS, 25 Ogos 2015 (Silwanic) — Pihak berkuasa rejim Zionis menutup tiga jalan masuk ke perkampungan Esawyeh di Silwan sebagai menghukum penduduk secara kolektif atas tuduhan membaling batu ke arah kenderaan pendatang Yahudi.

Polisi Zionis yang menghukum secara kolektif penduduk Esawyeh telah berterusan sejak dua tahun lalu di mana jalan masuk samada di sebelah timur mahupun barat dihalang dengan menggunakan batu konkrit, batu-batu besar dan juga timbunan tanah. Halangan ini adalah sebagai tambahan kepada sekatan pemeriksaan dan halangan besi yang sedia ada di semua jalan-jalan masuk.

Kenderaan penduduk diperiksa dan dikenakan saman secara rambang. Rejim Zionis turut melepaskan tembakan gas pemedih mata dan menyembur air najis ke atas jalan, di samping menyasarkan rumah-rumah penduduk, atas alasan untuk menghalang tindakan penduduk membaling batu.

Pasukan keselamatan khas Zionis juga menceroboh masuk perkampungan Esawyeh secara provokasi sehingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk.

Dua minggu lalu jalan masuk di sebelah timur Esawyeh pernah ditutup dengan batu konkrit, batu-batu besar dan timbunan tanah, manakala jalan berdekatan Hospital Hadassah dihalang pada bulan Julai 2014.

Terdapat seramai 18,000 penduduk Palestin di Esawyeh. Tindakan menutup jalan, terutamanya di sebelah timur, menghalang pergerakan penduduk serta kes kecemasan yang perlu dikejarkan ke Hospital Hadassah.

Dengan menutup jalan di sebelah timur, penduduk terhalang daripada memasuki jalan utama dan terpaksa mencari jalan alternatif melalui kejiranan lain di Al-Quds, sehingga menyebabkan berlaku kesesakan terutamanya pada awal sesi persekolahan yang baharu bermula.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts