Zionis Kini Kuasai Al-Aqsa Sepenuhnya – Sheikh Omar

AL-QUDS, 13 Sep 2015 (Maan) — Pengarah Masjid Al-Aqsa, Sheikh Omar al-Kiswani, hari ini mengatakan bahawa rejim Zionis kini telah mengambil alih sepenuhnya masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu, selepas serangan pasukan polis ke atas para jamaah masjid.

“Dengan menjajah kawasan masjid pada tahun 1967, hari ini pihak berkuasa Zionis telah meletakkan kedaulatan mereka ke atas Al-Aqsa secara kekerasan,” kata Sheikh Omar. Tentera dan polis Zionis mengawal sepenuhnya siapa yang boleh masuk atau keluar Masjid Al-Aqsa, dan mereka menggunakan kekerasan dan senjata ke atas penduduk Palestin yang cuba menghalang, bahkan mereka juga menyerang pekerja Jabatan Wakaf yang bertanggungjawab ke atas masjid mulia itu.

Sheikh Omar membuat kenyataan tersebut selepas pasukan bersenjata Zionis menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan menyerang para jamaah sehingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan.

Pihak berkuasa Zionis awal hari ini menghalang penduduk Islam Palestin daripada memasuki masjid bagi memberi laluan kepada pelampau Yahudi masuk bersempena sambutan tahun baharu Yahudi.

Sungguhpun pihak Zionis mendakwa tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan, ramai saksi dan juga jurnalis AFP menyaksikan beberapa orang Palestin ditangkap. Seorang kanak-kanak, Anas Siyam, dikejarkan ke hospital selepas ditembak dengan peluru getah di bahagian dadanya.

Sheikh Omar juga mendakwa bahawa dua orang pekerja Jabatan Wakaf ditembak dengan peluru getah, manakala puluhan yang lain mengalami luka-luka apabila diserang oleh polis. Bahkan beliau sendiri serta ketua pengawal wanita, Zeinat Abu Sbeih, turut diserang. Penjaga masjid dipukul dan dipaksa keluar dari kawasan masjid.

Menurut Sheikh Omar lagi, seramai hampir 160 pelampau Yahudi memasuki kawasan masjid pada waktu pagi dan petang walaupun Jabatan Wakaf mendesak pihak Zionis supaya menutup Pintu Moroko sebagai menghormati jamaah yang berada di dalam masjid.

Zionis merampas kawasan Al-Quds Timur, di mana berdirinya Masjid Al-Aqsa, dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts