Zionis Luluskan Projek Penempatan E1

TEBING BARAT, 5 Disember 2012 — Kementerian Pertahanan rejim Zionis telah meluluskan secara rasmi perlaksanaan projek membina penempatan baru peneroka Yahudi di kawasan East One (E1).

Jumaat lalu, iaitu sehari selepas undian menaikkan status Palestin di PBB, kerajaan Zionis pimpinan Benjamin Netanyahu telah mengumumkan rancangan untuk membina penempatan di atas tanah Palestin yang terletak di antara kawasan yang telah mereka rampas di Timur Baitulmaqdis dan blok penempatan haram Ma’ale Adumim, yang dipanggil sebagai kawasan E1.

Netanyahu mendakwa projek pembinaan tersebut adalah merupakan tindak balas terhadap undian Perhimpunan Agung PBB yang menaikkan status Palestin sebagai sebuah negara pemerhati bukan ahli dalam pertubuhan dunia itu.

Projek ini melibatkan pembinaan pusat komersial, kemudahan pendidikan dan 3000 unit perumahan untuk peneroka Yahudi. Apabila terlaksana kelak, pembinaan di wilayah berbukit tandus ini akan memisahkan Tebing Barat dan menghalang sebahagian daripada 2.5 juta penduduk Palestin memasuki kawasan Baitulmaqdis.

Walaupun dikutuk oleh masyarakat antarabangsa, Pejabat Pentadbiran Awam yang ditadbir oleh tentera Zionis tetap meneruskan dan membincangkan pelan pembinaan baru di E1. Sebagai usaha meredakan kutukan antarabangsa, rejim Zionis mendakwa bahawa kerja pembinaan ini mungkin akan mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk dilaksanakan. Mereka menambah bahawa hanya kepimpinan politik rejim Zionis mempunyai kuasa untuk menentukan bila pembinaan sebenarnya akan bermula, atau samada projek itu diteruskan atau tidak.

Terdapat berpuluh-puluh penempatan haram Yahudi di atas tanah Palestin di Tebing Barat, termasuk di sekitar Timur Baitulmuqaddis. Bilangan penduduk haram Yahudi di situ adalah lebih daripada setengah juta orang. Pelan baru penempatan haram Yahudi meliputi pembinaan lebih 7,500 pangsapuri dan beratus-ratus bilik hotel di kawasan E1 dan Givat Hamatos di kawasan timur Baitulmuqaddis dan di sempadan kawasan selatannya.

Palestinian Authority (PA) dilaporkan telah merujuk kepada PBB bagi mencadangkan sebuah resolusi untuk menghalang projek penempatan itu. Masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Eropah, melihat tindakan Zionis ini sebagai penghalang kepada usaha rundingan damai yang dikaitkan dengan penyelesaian dua-negara (two-state solution).

Sekiranya pihak PA bersetuju dengan “penyelesaikan dua-negara” yang turut diperjuangkan oleh Amerika itu, mereka terpaksa mengiktiraf sebuah negara Yahudi yang dibina di atas sekitar 82% daripada tanah asal Palestin. Pada masa yang sama, Zionis terus merampas saki-baki tanah milik rakyat Palestin dan membina penempatan haram bagi peneroka Yahudi.

Pelan pembangunan kawasan E1.
Pelan pembangunan kawasan E1.
Pemandangan penempatan Yahudi di Ma'ale Adumim, berlatarbelakang kawasan E1.
Pemandangan penempatan Yahudi di Ma’ale Adumim, berlatarbelakang kawasan E1.
Penempatan peneroka Yahudi di Ma'ale Adumim, Tebing Barat. Jika Zionis meneruskan racangan pembangunan di E1, iaitu kawasan berbukit sekitar Baitulmaqdis, penempatan Yahudi akan terus berkembang di atas kawasan yang dicadangkan sebagai wilayah negara Palestin yang diiktiraf.
Penempatan peneroka Yahudi di Ma’ale Adumim, Tebing Barat. Jika Zionis meneruskan racangan pembangunan di E1, iaitu kawasan berbukit sekitar Baitulmaqdis, penempatan Yahudi akan terus berkembang di atas kawasan yang dicadangkan sebagai wilayah negara Palestin yang diiktiraf.
Pangsapuri di kawasan penempatan Yahudi Ma'ale Adumim.
Pangsapuri di kawasan penempatan Yahudi Ma’ale Adumim.
LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts