Zionis Rampas Kawasan Perkuburan Islam Di Al-Quds

AL-QUDS, 2 Sep 2015 (Maan) — Rejim Zionis hari ini merampas sebidang tanah perkuburan orang Islam di luar tembok di sebelah timur Kota Lama Al-Quds.

Ketua jawatankuasa penyelengaraan tanah perkuburan orang Islam di Al-Quds Timur, Mustafa Abu Zahra, melaporkan bahawa sekumpulan inspektor alam semulajadi serta tentera Zionis menggempur masuk kawasan perkuburan Bab al-Rahma dan memasang pagar kawat berduri di sekeliling satu kawasan luas di atas tanah perkuburan tersebut.

Bab al-Rahma meliputi kawasan sepanjang tembok di sebelah timur Kota Lama dan telah digunakan sejak lebih 1,000 tahun. Tanah yang terletak bersebelahan perkarangan Masjid al-Aqsa ini dimiliki oleh Kementerian Wakaf Palestin.

Menurut Mustafa, terdapat beberapa pusara di dalam kawasan yang dirampas. “Sejak bertahun Zionis merampas tanah perkuburan Islam untuk dijadikan laluan pelancongan,” kata beliau.

Dua minggu lalu, tentera Zionis memasang pagar kawat berduri di satu kawasan seluas 7,000 meter persegi di atas sebidang tanah milik keluarga al-Husseini dan al-Ansari, bersebelahan tanah perkuburan Bab al-Rahma.

“Hari ini penjajah Zionis ingin menetapkan sempadan baharu untuk kawasan perkuburan orang Islam, sedangkan sempadan dan tembok sebenar telah terbina sejak ratusan tahun lalu,” kata Mustafa. “Pihak Zionis mendakwa tindakan itu sebagai mematuhi dan melaksanakan keputusan mahkamah, sedangkan mereka tidak pernah memberi bukti keputusan mahkamah seperti yang didakwa.”

Pengarah Masjid al-Aqsa, Sheikh Omar al-Kiswani, turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan rejim. “Zionis bukan sahaja menyerang orang Islam yang masih hidup, bahkan orang Islam yang telah meninggal dunia juga tidak selamat dari kejahatan mereka.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts