Zionis Rancang Musnahkan 13,000 Bangunan Di Tebing Barat – PBB

RAMALLAH, 7 Sep 2015 (The Guardian) — Rejim Zionis merancang untuk memusnahkan sehingga 13,000 bangunan yang kebanyakannya milik persendirian penduduk Palestin di Tebing Barat.

Di antara tahun 1988 dan 2014, pihak Pentadbiran Awam rejim yang beroperasi di Tebing Barat telah mengeluarkan 14,000 perintah perobohan bangunan, di mana lebih 11,000 masih belum terlaksana.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh sebuah agensi PBB, UN Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), keadaan ini mungkin boleh membawa kepada pemusnahan sehingga 13,000 bangunan milik penduduk Palestin di Kawasan C, termasuklah rumah dan kandang ternakan mereka. Rejim Zionis mengawal semua urusan keselamatan dan pentadbiran awam di Kawasan C.

Hampir 4,500 daripada perintah perobohan melibatkan harta kaum Badwi Arab di mana rejim merancang untuk mengusir mereka bagi memberi lalui kepada perluasan kawasan penempatan haram Yahudi.

Lazimnya bangunan milik penduduk Palestin dirobohkan atas alasan pembinaan tanpa permit. Menurut statistik Pentadbiran Awam, sebayak 2,020 permohonan permit telah dibuat oleh penduduk Palestin di Kawasan C di antara tahun 2010 dan 2014, namun hanya 33 permohonan, atau 1.5%, mendapat kelulusan.

Kurang dari 1% Kawasan C dibangunkan untuk penduduk Palestin, bahkan keperluan asas penduduk seperti kemah atau pagar juga memerlukan permit pembinaan.

Menurut laporan tersebut, sungguhpun perintah perobohan masih banyak yang tidak terlaksana, perintah tersebut tidak akan luput justeru menjadikan pemiliknya dalam keadaan tidak menentu dan terancam. Dalam kes perobohan dilaksanakan, tindakan rejim itu menyebabkan pemilik dan keluarga mereka kehilangan tempat berlindung dan sumber pendapatan, sekaligus meningkatkan kemiskinian dan kebergantungan kepada bantuan luar.

Daripada 11,134 perintah perobohan yang ada, sebanyak 570 kini sedia untuk dilaksanakan segera. Dalam tempoh setengah tahun pertama 2015, sebanyak 245 telah dirobohkan. Sebanyak 2,454 lagi tertangguh akibat prosiding undang-undang, manakala 8,110 lagi perintah dianggap sebagai “dalam proses.”

Kawasan C merangkumi 60% daripada seluruh keluasan Tebing Barat. Di bawah perjanjian sementara 1995 di antara PLO dan rejim Zionis, wilayah Tebing Barat dibahagikan kepada Kawasan A, B dan C. Kawasan C sepatutnya telah diserahkan kepada Palestinian Authority pada akhir tahun 1998, namun rejim Zionis tetap mengambil seluruh kawalan keselamatan di kawasan tersebut.

Kini terdapat 300,000 penduduk Palestin di dalam Kawasan C. Manakala seramai 360,000 pendatang Yahudi menetap di 135 buah penempatan dan 100 lagi “outpost” – kawasan penerokaan mereka secara haram di atas tanah penduduk Palestin.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts