Zionis Serang Al-Aqsa Dua Hari Berturut-Turut

AL-QUDS, 14 Sep 2015 (Maan) — Tentera Zionis terus mengawal kawasan Masjid Al-Aqsa dan melakukan serangan ke atas masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu. Beberapa orang petugas media tercedera apabila ditembak dengan gas pemedih mata dan grenad bunyi.

Jurukamera Ayman Abu Rumouz yang mewakili saluran satelit al-Mayadeen yang berpengkalan di Lubnan telah diserang dalam sebuah kedai ketika beliau sedang berlindung daripada serangan, manakala seorang lagi jurukamera, Mustafa al-Kharouf, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kemudian ditangkap oleh tentera. Petugas Palestin TV, Christine Rinawi, juga tercedera apabila terkena serpihan tembakan grenad bunyi.

Layali Ubeid, seorang pelapor agensi Shabakat al-Quds diarahkan oleh tentera supaya hadir ke satu sesi interogasi.

Dalam suasana tegang hari ini, pasukan polis Zionis masuk mengawal kawasan berbukit di perkarangan Masjid Al-Aqsa untuk memastikan pemuda Palestin tidak mengganggu kumpulan pelampau Yahudi yang memasuki kawasan masjid. Lima orang ditangkap sebagai langkah memastikan kehadiran pelampau tidak dihalang, sedangkan para pelampau tersebut dbiarkam masuk secara provokasi dengan bertepuk tangan dan menari-nari.

Empat lagi ditahan di jalan-jalan masuk ke masjid di sekitar Kota Lama al-Quds apabila mereka bertempur memprotes tindakan tentera Zionis.

Sekurang-kurangnya 170 askar pasukan khas dan polis menceroboh masuk kawasan masjid melalui Pintu Al-Magharabeh.

Seramai 500 pelampau Yahudi masuk ke dalam perkarangan Masjid Al-Aqsa dari jam 7:30 hingga 11:00 pagi, iaitu waktu yang dikhususkan oleh tentera Zionis untuk memberi laluan kepada kaum Yahudi memasuki kawasan masjid. Semalam, 650 pelampau menceroboh masuk, termasuklah Menteri Pertanian Zionis Uri Ariel.

Dalam perjanjian yang dipersetujui pada tahun 1967, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki kawasan Masjid al-Aqsa untuk tujuan ibadah. Kaum Yahudi bebas melakukan ritual agama mereka di kawasan Tembok Ratapan.

Zionis menduduki Al-Quds Timur selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967. Kemudian pada tahun 1980, mereka merampas seluruh kota tersebut dan mengisytiharkannya sebagi ibukota kepada negara haram Yahudi. Pengisytiharan itu tidak diterima oleh masyarakat antarabangsa.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts