Zionis Setuju Membuka Pintu Lintasan Gaza

crossingBETHLEHEM, 26 Ogos 2014 (Ma’an) — Rejim Zionis telah bersetuju untuk membuka pintu lintasan Gaza bagi membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan dan bahan binaan, kata wakil Hamas dalam rundingan gencatan senjata, Mousa Abu Marzouq.

Menurut Abu Marzouq, tiga lagi pintu lintasan Gaza akan dibuka di samping dua pintu yang sudahpun beroperasi iaitu Kerem Shalom dan Erez.

Ketika ditanya tentang perluasan kawasan nelayan, beliau menjawab bahawa nelayan Gaza kini dibenarkan keluar ke laut sehingga 6 batu nautikal, dan kawasan tersebut akan diluaskan lagi secara berperingkat sehingga 12 batu nautikal sebelum akhir tahun 2014.

Pembangunan semula Gaza akan dibincangkan dalam satu persidangan di Mesir bulan depan. Kerajaan perpaduan Palestin akan diberi tanggungjawab untuk tujuan itu, kata beliau. Rundingan lanjut akan diadakan dalam tempoh sebulan dari sekarang bagi membincangkan isu-isu yang belum diputuskan.

Beliau turut memberitahu bahawa persetujuan damai itu akan diawasi oleh pihak Mesir.

Tambah beliau lagi, sekatan dan tentangan pihak rejim Zionis, Eropah dan Amerka terhadap pemindahan wang ke Gaza bagi membayar gaji pekerja kerajaan yang dipimpin Hamas dahulu juga telah dibatalkan. Kerajaan perpaduan akan menguruskan pembayaran gaji tersebut.

Abu Marzouq menegaskan bahawa rejim Zionis bersetuju untuk menghentikan pembunuhan menyasarkan aktivis dan tokoh pejuang Palestin. Beliau berkata bahawa persetujuan damai sepatutnya telah dapat dicapai dengan lebih awal sekiranya rejim Zionis bersetuju tentang perkara ini dalam rundingan terdahulu.

Berkenaan pintu lintasan Rafah, Abu Marzouq berkatan pegawai Mesir dan Palestin akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah-langkah perlu untuk membuka lintasan itu selama-lamanya.

Zon penampan (buffer zone) yang diisytiharkan oleh tentera Zionis juga akan dihapuskan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts