Zionis Terus Serang Gaza, Enam Syahid

BEIT HANOUN, GAZA, 6 September 2012 – Nampaknya keganasan puak bacul Zionis Yahudi masih berterusan sejak Ramadhan. Sepanjang malam tadi jet tempur F-16 milik tentera pengganas Zionis sibuk berlegar di langit Gaza, bahkan deruman enjinnya sangat mengganggu pendengaran bertujuan menakutkan penduduknya.

Pada jam 8:00 pagi, terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dari arah sempadan utara Gaza dan wilayah yang dijajah Zionis, di kota Beit Hanoun.

Sebagai seorang petugas media mewakili MediaHALUAN di Gaza, saya bergegas menaiki motosikal menuju ke tempat kejadian. Sedang saya memecut laju, tiba-tiba ada seorang pemuda memaksa saya berhenti lalu berteriak, “wahai pemuda! Apa kamu mahu cari mati?” Dalam keadaan tersentak, saya bertanya kepada pemuda itu, “ada apa gerangan?” Pemuda Gaza itu mengangkat tangan dan menunjuk ke arah kawasan kebun tempat kejadian tersebut lalu memberi amaran, ”di hadapan kamu kan ada kawat sempadan Yahudi. Kamu lihat, ada tentera Yahudi dengan kereta kebal mereka di sana.”

Akibat serangan roket yang dilancarkan tentara Zionis Yahudi itu, seramai tiga pejuang Palestin telah syahid. Salah seorang daripada mereka bernama Toriq Suhel yang berusia 32 tahun. Beliau sudah berkahwin dan dikurniakan seorang putera dan dua orang puteri.

Suasana sedih menyelubungi rumah Toriq dengan tangisan anaknya, isterinya dan juga kedua orang ibubapanya. Semua syuhada telah disemayamkan di tanah perkuburan umum khusus untuk para syuhada.

Pada hari yang sama, tentera Zionis Yahudi juga menembak beberapa warga Gaza yang sedang menaiki kenderaan menyebabkan tiga orang terkorban dan seorang lagi cedera parah. Mereka diserang tanpa apa-apa sebab atau ancaman. Begitulah kejam dan ganasnya puak Zionis Yahudi yang tidak mengenal erti peri kemanusiaan. Sedangkan dunia terus membutakan mata dengan kerakusan pengganas Yahudi bermaharajalela di bumi para anbiya’ itu.

Pada keseluruhannya, seramai enam orang warga Gaza telah dibunuh oleh tentera Zionis pada hari ini sahaja, sementara seorang lagi cedera parah. Hingga ke saat ini, jet-jet Zionis Yahudi masih berterbangan di ruang udara Gaza, membuat provokasi kepada umat Islam di sini. Beberapa buah ambulan masih kelihatan sibuk di jalanan menyantuni rakyat yang tidak berdosa ini.

——————

Laporan Abdillah Onim, relawan MER-C Indonesia sebagai wakil MediaHALUAN di Gaza.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts